KOTA BHARU, 21 Mei (Bernama) -- Dua lelaki maut tertimbus dalam runtuhan tebing tanah di kawasan anak sungai dekat Ladang Sawit Jerimbong, Jeli semalam.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Jeli, Izuan Che Ibrahim berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden berkenaan pada 8.20 malam.
Beliau berkata mangsa dikenali Muhamad Ali Akhbar, 38, dan Mohamad Noor Illyas Suhaisham, 32, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat tertimbus dalam tanah setinggi dua meter.
"Mayat mangsa pertama dijumpai pada 9.25 malam manakala mayat mangsa kedua pada 11.18 malam tadi," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kedua-dua mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Bapa kepada Mohamad Noor Illyas iaitu Suhaisham Mohd Salleh, 56, berkata dia dimaklumkan mengenai kejadian menimpa anak sulungnya itu kira-kira 12 tengah malam tadi.
"Saya terkejut apabila ada kenalan mangsa yang minta saya segera pergi ke Hospital Jeli, dan memaklumkan mengenai keadaan anak saya.
"Arwah ini sifatnya seorang yang periang dan memang tiada sebarang perubahan tingkah laku pada dirinya. Saya reda dengan pemergian ini dan arwah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Balah," katanya ketika ditemui Bernama di Hospital Jeli hari ini.
Selain itu, abang kepada Muhamad iaitu Mohd Zaki Ali Akhbar, 41, pula berkata dia bergegas pulang ke Kelantan dari Kuantan, Pahang sejurus menerima panggilan mengenai adik ketiganya itu.
"Isteri kepada arwah iaitu Umi Mastura Mohd Din, 30, sekarang ini sedang hamil anak kelima. Arwah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Jering," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jeli Supt Kamarulzaman Harun berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian dua lelaki tempatan tertimbus tanah ketika menjalankan aktiviti melombong emas di kawasan Ladang Sawit Kampung Jerimbong Kuala Balah, Jeli pada 6.30 petang.
"Pihak polis dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Jeli telah menjalankan operasi menyelamat selama dua jam untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa dari lokasi kejadian.
"Siasatan awal mendapati mangsa berusia 32 tahun dan 38 tahun telah melakukan kerja melombong emas di lokasi tersebut tanpa sebarang lesen," katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Jeli bagi tujuan bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial