AM

HSA 2026 Jadi Platform Rapatkan Ekosistem, Kerjasama Kesihatan Awam-swasta

20/05/2026 06:40 PM

KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) -- Sidang Kemuncak Kesihatan Asia (HSA) 2026 dilihat mampu menjadi pemangkin kepada pengukuhan ekosistem penjagaan kesihatan serantau menerusi penghimpunan pemain industri, pakar teknologi perubatan serta penggubal dasar dari dalam dan luar negara bagi meneroka penyelesaian kesihatan masa depan.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Hanifah Hajar Taib berkata platform itu turut membuka ruang kerjasama lebih kukuh antara sektor kerajaan dan swasta dalam memperkasakan sistem kesihatan negara, khususnya melalui perkongsian teknologi, inovasi dan kepakaran terkini.

Beliau berkata menerusi pameran dan sesi perbincangan melibatkan pemain industri tempatan serta antarabangsa, pelbagai teknologi dan inovasi baharu dalam bidang kesihatan dapat diketengahkan bukan sahaja di Malaysia, malah di peringkat Asia.

“Kalau kita fikirkan, tidak semestinya Kementerian Kesihatan (KKM) ataupun kerajaan Malaysia mengetahui semua jenis teknologi atau breakthrough yang terdapat di negara lain mahupun industri tempatan.

“Jadi dengan melaksanakan pameran dan perbincangan seperti ini, kita dapat merapatkan lagi fahaman serta mempermudahkan penyelesaian kepada masalah kesihatan yang lebih rumit,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan HSA 2026 di sini, hari ini.

Turut hadir Pengasas dan Pengarah Urusan Green Wellness Malaysia, Datin Dorph Peng serta Pengerusi Eksekutif Qube Integrated Malaysia, Richard Teo.

Persidangan tiga hari anjuran bersama Qube Integrated Malaysia dan Green Wellness Malaysia itu dihadiri lebih 10,000 delegasi, lebih 100 pempamer serta penyertaan lebih 40 penceramah global dan serantau, selain menyasarkan penjanaan peluang komersial sehingga RM1.5 bilion dalam ekonomi penjagaan kesihatan dan kesejahteraan ASEAN.

Sementara itu, mengulas isu vape mengandungi dadah atau “vape zombie”, Hanifah Hajar berkata Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa memantau keadaan semasa selain melaksanakan program kesedaran di sekolah bagi mendidik pelajar mengenai bahaya vape terhadap kesihatan.

“Jika terdapat vape yang mengandungi dadah dan bukan daripada syarikat berdaftar, kita perlu bekerjasama dengan polis, kastam dan pihak penguat kuasa bagi memastikan perkara seperti itu tidak boleh dikompromi,” katanya.

Mengenai situasi Ebola, beliau berkata vaksin Ebola masih belum didaftarkan di Malaysia, namun kementerian sedang membuat persediaan awal termasuk mengenal pasti proses perolehan dan logistik sekiranya vaksin itu diperlukan pada masa depan.

Terdahulu, KKM dalam kenyataan hari ini memaklumkan tiada kes Ebola dilaporkan di Malaysia setakat ini, namun langkah kesiapsiagaan terus dipertingkatkan dengan mengambil kira risiko importasi kes melalui perjalanan antarabangsa susulan wabak di Congo dan Uganda.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan