EKONOMI

Pentech Bakal Disenarai Di Pasaran ACE Sasar Raih RM34.39 Juta Menerusi IPO

20/05/2026 05:15 PM

KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) -- Pentech Holdings Bhd, firma infrastruktur komputer dijangka meraih hasil kasar sebanyak RM34.39 juta daripada penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia, yang dijadualkan pada 15 Jun, 2026.

Syarikat yang berpangkalan di Pulau Pinang itu menyediakan penyelesaian teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) perusahaan, merangkumi penyepaduan infrastruktur ICT, pembekalan perkakasan dan perisian, serta penawaran perkhidmatan awan, terurus dan yang berkaitan.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Yeoh Chin Ming berkata Pentech merancang untuk meluaskan operasinya di Kuala Lumpur dengan menubuhkan pusat operasi keselamatan (SOC) baharu dan menaik taraf infrastruktur pusat arahan operasi (OCC) syarikat itu.

Beliau berkata OCC memberi tumpuan kepada pengurusan dan penyelenggaraan operasi teknologi maklumat (IT) pelanggan, manakala SOC dikhususkan untuk mencegah ancaman keselamatan siber.

"OCC merupakan tempat di mana kami membantu pelanggan menguruskan operasi IT mereka. SOC pula sebenarnya lebih kepada mencegah ancaman... bagi melindungi keseluruhan ekosistem anda," katanya kepada pemberita selepas pelancaran prospektus syarikat itu hari ini.

Yeoh berkata OCC kini memberikan perkhidmatan kepada kira-kira 150 pelanggan dan syarikat itu merancang menaik taraf sistem serta infrastrukturnya bagi menyokong lebih ramai pelanggan dan ekosistem IT yang semakin kompleks.

"Sebelum ini, kami mungkin hanya mampu mengurus sistem IT pelanggan melibatkan kira-kira 1,000 komputer peribadi (PC), tetapi dengan teknologi baharu, kami kini boleh mengurus sehingga 5,000 PC untuk pelanggan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata perniagaan keselamatan siber Pentech dalam industri perkhidmatan kewangan (FSI) telah mula mendapat sambutan selepas beberapa tahun berusaha untuk menembusi pasaran.

Yeoh berkata sumbangan hasil daripada segmen FSI meningkat daripada kira-kira RM3 juta pada 2022 kepada RM28 juta pada 2025, disokong oleh penggunaan yang meningkat dalam kalangan bank dan institusi kewangan lain.

Di sebalik pertumbuhan itu, beliau berkata pegangan pasaran Pentech masih berada di bawah satu peratus dalam pasaran perkhidmatan perusahaan dan perdagangan ICT Malaysia yang bernilai RM36 bilion, sekali gus meninggalkan ruang yang besar untuk pengembangan.

"Berdasarkan hasil yang dijana oleh Pentech pada 2025 yang hanya berjumlah RM232 juta, pegangan pasaran kami di Malaysia sebenarnya adalah kurang daripada satu peratus," katanya.

Dalam hal ini, syarikat itu akan menumpukan kepada pengembangan domestik menggunakan hasil daripada tawaran awam permulaan (IPO) berkenaan, katanya sambil menambah pelan pengembangan ke luar negara bukanlah sebahagian daripada rancangan terdekat syarikat.

Daripada hasil IPO itu, syarikat merancang untuk menggunakan RM9.40 juta bagi menubuhkan SOC baharu, manakala RM8.10 juta akan diperuntukkan untuk menaik taraf infrastruktur OCC kumpulan.

Syarikat itu memperuntukkan RM6.74 juta untuk pengembangan perniagaan bagi menyediakan perkhidmatan ICT tambahan, RM3.50 juta untuk perbelanjaan pemasaran dan aktiviti promosi, RM2.15 juta bagi keperluan modal kerja, serta RM4.50 juta bagi membiayai perbelanjaan berkaitan penyenaraian.

Berdasarkan modal saham terbitan yang diperbesar sebanyak 620 juta saham biasa dan harga IPO pada 20 sen sesaham, Pentech dijangka mempunyai permodalan pasaran indikatif sebanyak RM124 juta.

Permohonan untuk 31 juta saham baharu yang diperuntukkan kepada warganegara Malaysia akan ditutup pada 29 Mei, 2026.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan