KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) -- Telekom Malaysia Bhd (TM) akan terus memberikan kerjasama penuh kepada Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat (AS) berhubung bekas pekerja TM USA Inc.
Menurut syarikat telekomunikasi itu dalam kenyataan hari ini, pihaknya sebelum ini telah memulakan siasatan sendiri berikutan mengesyaki wujud salah laku oleh individu tersebut, yang membawa kepada pemecatan mereka.
“Maklumat daripada siasatan itu kemudiannya dikongsi dengan pihak berkuasa yang berkaitan. Perkara itu kini berada di bawah bidang kuasa DOJ dan mahkamah AS,” menurutnya.
TM memaklumkan syarikat mematuhi standard tadbir urus dan pematuhan yang ketat serta tidak bertolak ansur terhadap sebarang bentuk salah laku.
Sementara itu, dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, TM memaklumkan bahawa perkara itu tidak menyebabkan sebarang gangguan yang ketara kepada operasi kumpulan berdasarkan penilaian semasanya, termasuk aktiviti perniagaan TM USA di AS.
“Ia dijangka tidak memberi impak yang ketara terhadap kedudukan kewangan Kumpulan TM.
“TM juga telah mengambil langkah-langkah mitigasi segera termasuk menambah baik kawalan dalaman dan proses tadbir urus untuk mengurangkan risiko berulang,” menurutnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial