AM

Ibu Ketua Pengarang Bernama Meninggal Dunia

19/05/2026 11:47 PM

KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) -- Ibu kepada Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Arul Rajoo Durar Raj, Kaliamah Karuppaya, 77, meninggal dunia malam ini di kediamannya di Behrang Hulu, Perak.

Mendiang menghembuskan nafas terakhir pada 8.10 malam selepas mengalami masalah kesihatan berkaitan kegagalan buah pinggang sejak setahun yang lepas.

Arul Rajoo berkata ibunya sebelum ini kerap mendapatkan rawatan dialisis di beberapa hospital termasuk Hospital Slim River, Perak.

“Terbaharu, mendiang menerima rawatan di Hospital Al-Sultan Abdullah Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam pada April.

“Mendiang dirawat selama hampir tiga minggu di sana sebelum doktor menasihatkan agar beliau dibawa pulang ke rumah,” katanya ketika dihubungi.

Mendiang Kaliamah yang pernah bekerja sebagai penoreh getah di samping menjadi suri rumah, meninggalkan lima cahaya mata. 

Berkongsi kenangan bersama ibunya, Arul Rajoo menyifatkan mendiang sebagai seorang wanita cekal yang banyak berkorban dan sentiasa mendidik anak-anak supaya hidup berdikari serta rajin berusaha.

Beliau berkata ibunya amat menitikberatkan soal pendidikan sebagai jalan untuk mengubah nasib keluarga.

“Ibu saya selalu pesan supaya kami belajar bersungguh-sungguh. Dia tidak mahu kami lalui kesusahan seperti yang pernah dia alami,” katanya.

Berkat ketegasan dan didikan ibunya, Arul Rajoo berkata kesemua adik-beradiknya berjaya menamatkan pengajian pada peringkat diploma dan ijazah.

Beliau berkata upacara sembahyang dan penghormatan terakhir dijangka berlangsung pada 2.30 petang esok, sebelum jasad mendiang dibawa ke Hindu Crematorium Serendah untuk disemadikan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan