AM

Pengurusan Tertinggi Beri Penghormatan Terakhir Kepada Mendiang Ibu KP Bernama

20/05/2026 04:57 PM

TANJUNG MALIM, 20 Mei (Bernama) -- Pengurusan tertinggi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) hadir memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Kaliamah Karuppaya, ibu kepada Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj, di kediamannya di Behrang Hulu, di sini, hari ini.

Antara yang hadir ialah Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Mohd Shukri Ishak, Pemangku Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Harlina Samson, Ketua TV Nor Hamzeela Md Hambali dan Ketua Khidmat Pengurusan dan Kewangan Sharifah Zaini Syed Zain.

Turut hadir memberikan penghormatan terakhir ialah Ketua Penyunting Meja Penyuntingan Bahasa Melayu Elmi-Rizal Elias, Pengurus Kanan Bahagian Pentadbiran dan Fasiliti Hasni Farlina Abdul Hasim, Pengurus Kanan Bahagian Pembangunan Perniagaan dan Komunikasi Pemasaran K. Raj Anila dan Eksekutif Kanan Jualan G. Jaya Chitra.

Setiausaha Akhbar kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Shuhaimi Mohamed turut hadir, selain ahli keluarga dan rakan-rakan mendiang.

Arul Rajoo meluangkan masa mengiringi barisan pengurusan tertinggi Bernama dan tetamu lain yang hadir memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang ibunya.

Mohd Shukri ketika ditemui berkata seluruh warga Bernama menzahirkan ucapan takziah kepada Arul Rajoo atas pemergian ibunya.

“Bagi pihak pengurusan dan juga Perkhidmatan Berita, kami mengucapkan takziah kepada keluarga Encik Arul yang kehilangan ibu tercinta semalam. Semoga Encik Arul dan keluarga tabah menghadapi ujian ini dan kita bersama-sama mengharapkan semua urusan berjalan dengan lancar,” katanya.

Kaliamah, 77, yang menghembuskan nafas terakhir pada jam 8.10 malam semalam, akibat masalah kesihatan berkaitan kegagalan buah pinggang, meninggalkan lima cahaya mata.

Upacara sembahyang dan penghormatan terakhir dijadualkan berlangsung pada petang ini, sebelum jasad mendiang dibawa ke Hindu Crematorium Serendah untuk disemadikan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan