EKONOMI

Banyak Syarikat Jepun Lihat Sentimen Perniagaan 2026 Di Malaysia Mula Bertambah Baik

19/05/2026 09:38 PM

KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) -- Sentimen dan persekitaran perniagaan di Malaysia dijangka bertambah baik menjelang 2026, menurut tinjauan yang dijalankan oleh Dewan Perdagangan & Perindustrian Jepun Malaysia (Jactim) serta Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (Jetro) Kuala Lumpur.

Sebanyak 562 syarikat ahli Jactim, yang terdiri daripada syarikat tempatan, cawangan dan pejabat perwakilan, tidak termasuk ahli individu, telah dihubungi untuk tinjauan itu, yang mana, 208 maklum balas yang sah telah diterima.

Data daripada tinjauan itu menunjukkan bahawa responden melihat pertumbuhan Malaysia sebagai teguh, walaupun sentimen berbeza mengikut syarikat dan industri disebabkan oleh persaingan serta kos.

“Jangkaan indeks penyebaran (DI) 2026 untuk sentimen perniagaan diramalkan meningkat kepada 5.3 mata, walaupun ketegangan di Asia Barat sebahagian besarnya kekal sukar diramalkan.

“DI perniagaan pada separuh kedua 2025 menokok kepada -4.3 mata, peningkatan 7.2 mata berbanding -11.5 mata yang dicatatkan dalam tinjauan separuh kedua 2024, melangkaui paras pra-pandemik,” lapor tinjauan itu.

DI untuk tahap keuntungan pada 2026 diunjurkan naik kepada 46.6 mata daripada 38.9 mata pada separih kedua 2025, manakala DI margin keuntungan dijangka melonjak kepada 7.2 mata daripada -10.1 mata.

Tinjauan itu juga mendapati walaupun beberapa syarikat sedang mempertimbangkan untuk mengecilkan saiz, komitmen kepada Malaysia secara keseluruhannya kekal tinggi.

“Pengilang semakin melihat Malaysia sebagai hab berfungsi yang stabil dan bukannya tapak untuk pelaburan baharu yang agresif,” katanya.

Syarikat bukan perkilangan, bagaimanapun, mempunyai minat yang lebih besar dalam pengembangan dan menunjukkan minat yang tinggi dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

Mengenai persekitaran pelaburan Malaysia, tinjauan itu mendapati kekuatan struktur, seperti penguasaan bahasa Inggeris dan ketiadaan bencana alam, kekal sebagai tarikan utama negara.

“Penilaian tinggi untuk taraf hidup dan keselamatan, terutamanya di tengah-tengah risiko geopolitik global, mengukuhkan status negara sebagai tempat yang stabil serta selamat bagi pelaburan dan ekspatriat,” katanya.

Berhubung isu buruh asing, tinjauan itu menyatakan bahawa hampir dua pertiga daripada pengilang menganggap buruh asing “perlu”, mereka mempunyai kelebihan dengan waktu bekerja dan syif.

“Kebergantungan kepada pekerja asing semakin bertambah disebabkan cabaran pengambilan tempatan dan kadar pusing ganti yang tinggi.

Sebaliknya, hanya satu pertiga daripada syarikat bukan pengilang yang memerlukan pekerja asing, disebabkan oleh kesukaran dalam pengambilan pekerja tempatan.

“Mengecualikan sektor berkenaan, syarikat yang berjaya mengekalkan bakat tempatan cenderung mempunyai keperluan yang lebih rendah untuk buruh asing,” katanya.

Tinjauan itu menunjukkan bahawa pemberian insentif perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kepada syarikat asing, termasuk Jepun, kekal sebagai permintaan dasar yang paling penting.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan