EKONOMI

IEM Laksana Dua Langkah Tangani Impak Krisis Bekalan Global

10/05/2026 05:44 PM

KUALA LUMPUR, 10 Mei (Bernama) -- Institut Jurutera Malaysia (IEM) telah mengeluarkan Laporan Tinjauan Impak Kejuruteraan bagi menangani impak krisis bekalan global susulan perkembangan geopolitik di Asia Barat baru-baru ini.

IEM turut memperkenalkan Nota Amalan 2026-01 bagi menyediakan panduan kontrak segera kepada profesion kejuruteraan.

Menurut Presiden IEM Yau Chau Fong dalam kenyataan, kedua-dua langkah proaktif untuk menangani krisis itu diambil susulan taklimat oleh Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).

Beliau berkata Laporan Tinjauan Impak Kejuruteraan IEM itu adalah berdasarkan tinjauan terhadap sebanyak 272 profesional berpengalaman, dengan lebih separuh daripadanya mempunyai kepakaran teknikal melebihi 20 tahun.

IEM memaklumkan, dapatan daripada laporan tinjauan itu menggambarkan landskap kejuruteraan Malaysia yang membimbangkan.

“Sebanyak 90.51 peratus responden bersetuju industri ini sedang bergelut dengan kenaikan harga diesel yang mengejutkan berjumlah 85 peratus; dan 81.15 peratus responden pula mengakui telah mengalami peningkatan purata 12.59 peratus melibatkan bahan utama seperti keluli, konkrit dan bitumen.

"Kira-kira 88.89 peratus responden pula melaporkan lebihan kos manakala 74.90 peratus mengalami kelewatan projek yang ketara," menurut kenyataan itu.

IEM memaklumkan sebanyak 83.90 peratus kontraktor terutama perusahaan kecil dan sederhana berdepan tekanan kewangan yang buruk, dengan kebanyakannya hampir tidak mampu membayar.

Menurut Yau sebanyak 37.45 peratus responden menyatakan kemungkinan berlakunya kompromi terhadap kualiti kerja memandangkan tekanan kewangan yang meningkatkan risiko "mengambil jalan pintas," yang terus mengancam keselamatan awam dan kemampanan aset.

Sementara itu, Nota Amalan 2026-01, "Pengurusan Turun Naik Harga Bahan dalam Kontrak Pembinaan Akibat Gangguan Bekalan Global" menjelaskan mengenai pentadbiran projek di bawah syarat kontrak IEM (IEM COC).

Nota amalan itu menjelaskan bahawa di bawah terma standard IEM COC, jumlah kontrak adalah tetap kecuali pihak yang terlibat bersetuju bahawa Modul Pilihan B diguna pakai. 

Modul Pilihan B pada asasnya adalah “klausa turun naik harga” yang membolehkan kontraktor untuk membuat tuntutan bagi sebarang kenaikan harga simen, tetulang keluli, bitumen dan diesel.

Walaupun jurutera perlu terus adil dan tidak boleh mengesahkan pembayaran atas dasar ex-gratia, nota amalan itu menggalakkan jurutera untuk bertindak sebagai fasilitator bagi 'penyelesaian yang baik.' 

Ini termasuk pertimbangan terhadap perjanjian tambahan untuk memastikan daya maju projek walaupun berdepan kejutan pasaran yang belum pernah berlaku sebelum ini.

Menurut Yau, penerbitan Nota Amalan 2026-01 akan membantu untuk membimbing ahli IEM.

Beliau bagaimanapun berkata panduan profesional sahaja tidak mencukupi.

“Sehubungan itu, kami menggesa penglibatan kerajaan untuk menstabilkan bekalan bahan binaan dan melaksanakan mekanisme variasi harga (VOP) mandatori bagi mengelakkan keseluruhan pelaksanaan projek negara yang sedang dan akan dilaksanakan terjejas,” kata Yau.

Beliau berkata IEM menggalakkan penyelarasan tiga pihak antara jurutera individu, institusi dan kerajaan.

Antara cadangan utama termasuk subsidi bersasar dengan rebat segera bagi diesel dan bahan api untuk sektor kejuruteraan dan logistik selain menyeragamkan mekanisme VOP dan lanjutan masa bagi semua projek awam dan swasta.

IEM turut mencadangkan supaya klausa turun naik harga dwihala dimasukkan dalam kontrak baharu bagi memastikan keadilan kepada majikan dan kontraktor.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan