Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin
KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) -- Rangka Kerja Insentif Baharu (NIF) mencerminkan peralihan yang lebih luas ke arah menggalakkan pelaburan yang menyumbang lebih bermakna demi keutamaan ekonomi jangka panjang Malaysia, menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Penggalakan dan Fasilitasi Pelaburan) Zalina Zainol berkata landskap pelaburan semasa kini jauh berbeza berbanding sebelum ini memandangkan syarikat akan mengambil kira pelbagai faktor sebelum memutuskan lokasi pelaburan.
“Mereka (syarikat) melihat kepada keupayaan teknologi, ketahanan rantaian bekalan, kesediaan tenaga kerja, komitmen kemampanan dan juga kestabilan geopolitik.
“Dalam erti kata lain, banyak negara dijangka menawarkan lebih daripada sekadar insentif atau kelebihan kos. Kesannya, dasar dan rangka kerja pelaburan juga mesti terus berkembang seiring dengan perubahan ini,” kata beliau.
Beliau berkata demikian semasa Seminar Rangka Kerja Insentif Baharu (NIF) Malaysia bertemakan 'Tax Reforms: Navigating the Outcome-Based Era, A Strategic Briefing on Malaysia's New Incentive Framework' yang diadakan di MIDA Sentral, di sini hari ini.
Zalina berkata persaingan global untuk menarik pelaburan semakin sengit dan pelbagai negara kini sedang menilai semula strategi masing-masing untuk menjadikannya lebih menarik.
Beliau berpendapat Malaysia juga tidak terkecuali, sambil menegaskan tumpuan kini semakin terarah kepada kualiti pelaburan dan nilai jangka panjang yang dibawa untuk ekonomi.
“Kita mahukan pelaburan yang dapat membantu Malaysia beralih ke rantaian nilai yang lebih tinggi; pelaburan yang mampu mewujudkan pekerjaan yang lebih berkualiti, memperkukuh industri domestik, menggalakkan pemindahan teknologi dan membina rantaian bekalan domestik yang lebih kukuh,” katanya.
Seminar hari ini turut menampilkan sesi perbincangan panel yang dikendalikan oleh Pengurus Kanan PwC Malaysia Zaim Zulkifli selaku moderator.
Ahli panel terdiri daripada Setiausaha Bahagian Cukai Kementerian Kewangan (MOF) Datuk John Patrick Antonysamy; Pengarah Eksekutif Kanan Advokasi Polisi Pelaburan MIDA Masni Muhammad; dan Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid.
Semasa sesi itu, Masni berkata NIF secara sistematik beralih ke arah cadangan nilai yang mengutamakan kesediaan ekosistem, kemampanan dan daya tahan operasi.
Beliau menyatakan rangka kerja itu secara strategik mengalihkan Malaysia daripada pendekatan tradisional iaitu pelepasan cukai berasaskan keuntungan kepada model pelaburan moden yang berasaskan hasil dan memacu nilai.
Menurut beliau, NIF membolehkan Malaysia menarik perhatian pelabur jangka panjang yang sofistikated melalui beberapa kelebihan tersendiri, khususnya dalam sistem berperingkat yang 'berasaskan prestasi'.
Sistem berperingkat ini mewujudkan rangka kerja yang telus, di mana syarikat yang melabur secara aktif dan berupaya untuk maju diberikan ganjaran secara langsung melalui kuantum insentif yang lebih baik.
Selain itu, Masni menjelaskan NIF akan secara aktif memberi insentif kepada jalinan rantaian bekalan domestik dan pembangunan kluster perindustrian.
“Syarikat multinasional (MNC) yang mengambil bahagian dalam Program Pembangunan Vendor (VDP), mendapatkan bahan mentah tempatan atau bekerjasama dengan institusi akademik dan penyelidikan tempatan akan memperoleh skor yang jauh lebih tinggi dalam matriks NIF.
“Bagi pelabur pula, ini diterjemahkan kepada inisiatif tajaan kerajaan untuk membina ekosistem tempatan yang kukuh di persekitaran operasi mereka, sekali gus mengurangkan ketidaktentuan rantaian bekalan jangka panjang,” tambahnya.
Beliau berkata rangka kerja tersebut menerapkan penjajaran alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta kemampanan yang telah dinilai terlebih dahulu dengan menyepadukan amalan kemampanan secara langsung ke dalam kad skor insentif teras.
Usai sesi perbincangan panel itu, Pengarah Eksekutif Advokasi Polisi Pelaburan (Perkilangan) MIDA Nelson Samuel Wilson turut menyampaikan taklimat teknikal yang mendalam mengenai mekanisme operasi NIF.
Mengenai peralihan operasi, Zalina memberi jaminan kepada pemain industri bahawa walaupun proses penyesuaian kepada rangka kerja baharu itu sememangnya memerlukan sedikit pelarasan, MIDA kekal komited sepenuhnya untuk membimbing dan menyokong para pelabur serta pengamal industri sepanjang proses berkenaan.
Bagi memastikan pengalaman dari hujung ke hujung yang lebih lancar, proses permohonan telah diintegrasikan ke dalam platform digital InvestMalaysia MIDA, dengan penambahbaikan sistem selanjutnya akan diperkenalkan secara berperingkat.
“Di samping itu, garis panduan terperinci dan soalan lazim turut tersedia di laman web MIDA bagi membantu pelabur memahami dan mengendali rangka kerja tersebut dengan lebih jelas,” tambah beliau.
Seminar berkenaan diakhiri dengan siri sesi rundingan satu sama satu yang berdaftar lebih awal antara syarikat dan pakar MIDA bagi menawarkan bimbingan praktikal yang disesuaikan kepada pemain industri sepanjang tempoh peralihan dasar itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial