JENAYAH & MAHKAMAH

15 Individu Ditahan Rakam Video Promosi Bakar Suar Di Bukit Bintang

19/05/2026 07:48 PM

KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) -- Aksi berbahaya sekumpulan individu membakar suar dan menunggang motosikal secara melulu di Bukit Bintang bagi tujuan rakaman video promosi ulang tahun sebuah kedai pakaian, akhirnya mengundang padah apabila 15 individu terlibat ditahan polis semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Sazalee Adam berkata kesemua suspek termasuk seorang wanita, berumur lingkungan 17 hingga 30 tahun itu ditahan di sekitar Batu Caves, Shah Alam, Kajang dan Dengkil bermula 12.30 tengah hari hingga 10 malam tadi.

“Siasatan awal mendapati kedai pakaian berkenaan milik seorang suspek lelaki berusia 24 tahun yang beroperasi di Dengkil, manakala wanita berumur 24 tahun yang ditahan pula berperanan sebagai penyelaras bagi penggambaran tersebut.

"Lapan daripada individu yang ditahan itu dikesan telah diupah untuk melakonkan aksi menunggang motosikal secara melulu dan membakar suar dengan bayaran antara RM50 hingga RM700," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata polis turut merampas sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Raptor yang disewa serta pakaian yang digunakan suspek semasa kejadian.

Selain itu, tindakan sitaan turut dikenakan ke atas dua motosikal jenis scrambler kerana tidak mempunyai pendaftaran sah dan hanya sesuai bagi kegunaan luar jalan raya.

"Kesemua suspek direman selama tiga hari bermula hari ini. Hasil ujian saringan air kencing mendapati kesemua mereka negatif dadah,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 290 dan 279 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955, Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957, Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sazalee turut menasihatkan mana-mana pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ingin melakukan aktiviti penggambaran di ibu negara supaya memohon kelulusan daripada agensi berkaitan terlebih dahulu bagi mengelak insiden yang boleh mengancam keselamatan awam serta mencemarkan imej negara.

Sebelum ini, tular di media sosial video memaparkan beberapa individu membakar suar di atas sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Sultan Ismail berhampiran sebuah restoran makanan segera di Bukit Bintang.

Dua lelaki turut kelihatan menunggang secara merbahaya motosikal jenis scrambler elektrik sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan orang ramai. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan