KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) -- KL Wellness City (KLWC) telah memeterai kerjasama dengan Golden Destinations (GD) bagi melancarkan kempen ganjaran gaya hidup eksklusif, menjelang siapnya The Nobel Healthcare Park di Bukit Jalil.
Pengarah Eksekutif KLWC Datuk Seri Dr Vincent Tiew berkata kerjasama itu, mencerminkan visi syarikat untuk mengintegrasikan penjagaan kesihatan, gaya hidup dan hubungan global dalam satu ekosistem untuk pembelinya.
“Di KLWC, kami percaya kesejahteraan bukan sekadar penjagaan kesihatan, tetapi juga satu gaya hidup dan perjalanan jangka panjang. Melalui kerjasama dengan GD ini, kami menggabungkan kehidupan berteraskan kesejahteraan dan pengalaman pelancongan global dalam satu kempen yang bermakna,” katanya pada majlis pelancaran, di sini hari ini.
Kempen itu dilancarkan secara rasmi di ibu pejabat Golden Destinations, disusuli pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara Tiew, Pengarah Urusan GD Mita Lim dan Pengarah Urusan Melody Tours Lee Kien Wei, bagi memperkukuh kerjasama strategik mereka.
Dikenali sebagai The Golden Journey to Wellness, kempen itu menggabungkan insentif pelancongan dan manfaat penjagaan kesihatan untuk pembeli komponen komersial terpilih dalam bandar kesejahteraan bersepadu tersebut.
Di bawah kempen itu, pembeli Medical Suites, Retail Suites, Business Suites dan Commercial Suites akan menerima baucar pelancongan bernilai RM10,000, yang boleh ditebus menerusi pakej dan perkhidmatan terpilih GD.
Selain itu, pembeli juga layak menerima baucar saringan kesihatan bernilai sehingga RM6,000 daripada KL International Hospital (KLIH).
Selain manfaat kempen tersebut, Tiew berkata ekosistem penjagaan kesihatan bersepadu dalam The Nobel Healthcare Park menawarkan peluang istimewa kepada doktor pakar untuk memiliki klinik mereka secara kekal, sekali gus membolehkan fleksibiliti operasi yang lebih besar termasuk dari segi tenaga kerja, waktu konsultasi dan kerjasama klinikal.
“Terdapat kira-kira 200 klinik pakar milik persendirian di The Nobel Healthcare Park, merangkumi perkhidmatan seperti perubatan tradisional Cina, penjagaan pergigian, klinik estetik dan amalan kepakaran lain yang dikendalikan doktor berpengalaman.
“Ia dijangka bukan sahaja memenuhi keperluan pesakit tempatan tetapi juga pesakit asing, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai hab pelancongan perubatan serantau,” katanya.
Sementara itu, Lim berkata kerjasama tersebut selari dengan peningkatan permintaan pengguna terhadap pengalaman berteraskan gaya hidup dan kesejahteraan.
“Menerusi rangkaian pelancongan global kami yang meliputi lebih 100 destinasi serta kerjasama dengan lebih 70 syarikat penerbangan antarabangsa, kami berharap dapat menawarkan peluang pelancongan yang bermakna kepada para pembeli sambil menyokong visi KLWC dalam memperkasakan kehidupan berteraskan kesejahteraan,” katanya.
Terletak di atas tapak seluas 26.5 ekar di Bukit Jalil, KLWC merupakan pembangunan penjagaan kesihatan dan kesejahteraan bersepadu yang merangkumi komponen perubatan, kesejahteraan dan pembangunan bercampur.
Pembangunan itu merangkumi Wellness Park seluas 1.3 ekar serta The Nobel Healthcare Park yang disasarkan siap pada suku ketiga 2026.
Ia juga dihubungkan melalui jambatan penghubung ke KL International Hospital (KLIH), sebuah hospital tertiari dengan kapasiti diluluskan sebanyak 624 katil yang boleh ditingkatkan sehingga 1,000 katil, selain dilengkapi 25 dewan bedah dan sebuah tempat pendaratan helikopter di atas bumbung.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial