JENAYAH & MAHKAMAH

Keputusan Kes Pengubahan Wang Haram Bekas Pengarah Jabatan Air Sabah Hari Ini

19/05/2026 08:59 AM

KOTA KINABALU, 19 Mei (Bernama) -- Keputusan kes pengubahan wang haram berprofil tinggi membabitkan bekas Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah Ag Mohd Tahir Mohd Talib, isterinya dan bekas Timbalan Pengarah jabatan itu dijadual diputuskan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim Abu Bakar Manat dijangka menyampaikan keputusan sama ada Ag Mohd Tahir, 63, isterinya Fauziah Piut, 61, serta Lim Lam Beng, 72, dibebaskan atau disabitkan atas pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUA) 2001.

Lelaki itu berdepan 12 pertuduhan, manakala Fauziah menghadapi 19 pertuduhan, selain kedua-duanya turut berdepan dua pertuduhan bersama atas kesalahan yang didakwa dilakukan di Sabah dan Kuala Lumpur antara 4 Okt hingga 4 Nov 2016.

Lim pula berdepan empat pertuduhan atas kesalahan yang didakwa dilakukan di sini antara 13 Okt hingga 8 Nov 2016. Kesemua tertuduh didakwa pada 28 Dis 2016 dan mengaku tidak bersalah.

Perbicaraan kes bermula pada 7 Mei 2018 dan berpanjangan susulan beberapa permohonan serta pandemik COVID-19, sebelum pihak pendakwaan menutup kes pada 16 Mei 2024 selepas memanggil lebih 40 saksi. Tertuduh kemudian diarahkan membela diri pada 4 Dis 2024.

Pihak pembelaan memanggil 15 saksi, termasuk ketiga-tiga tertuduh, sebelum mahkamah selesai mendengar hujahan penutup baru-baru ini.

Sepanjang perbicaraan, Ag Mohd Tahir dan Fauziah diwakili barisan peguam diketuai Datuk Ansari Abdullah, manakala Lim diwakili peguam Datuk Tan Hock Chuan bersama pasukannya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat, Haresh Prakash Somiah serta Zander Lim.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan