DUNIA

76 Peratus Peralatan Pengimejan Perubatan Musnah, Burukkan Lagi Krisis Kesihatan Di Gaza

19/05/2026 07:41 AM

GAZA, 18 Mei (Bernama-WAFA) -- Perkhidmatan pengimejan perubatan di hospital yang masih berfungsi di Semenanjung Gaza mengesahkan bahawa mereka sedang berdepan cabaran besar ekoran kemusnahan meluas sistem kesihatan semasa perang, lapor Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA).

Sumber menyatakan yang wilayah berkenaan kehilangan 76 peratus daripada peralatan pengimejan perubatan manakala baki peralatan yang tinggal iaitu hanya 24 peratus kini beroperasi dalam keadaan teknikal yang sukar.

Keadaan ini diburukkan lagi oleh peningkatan keperluan terhadap perkhidmatan berkenaan serta kesukaran untuk menjalankan penyelenggaraan rutin dan mendapatkan alat ganti.

Mereka berkata perkhidmatan pengimejan resonans magnetik (MRI) kini langsung tidak dapat disediakan di Semenanjung Gaza selepas sembilan mesin berkenaan musnah, sekali gus merumitkan lagi langkah diagnosis dan rawatan untuk para pesakit serta mangsa yang cedera.

Mereka turut menjelaskan bahawa hanya lima daripada 18 pengimbas tomografi berkomputer (CT) yang masih boleh beroperasi dan jumlah yang kecil itu pun berada di bawah tekanan yang amat besar sehingga gagal memenuhi keperluan harian bagi perkhidmatan pengimejan diagnostik.

Menurut sumber itu, sebelum tercetusnya serangan, wilayah berkenaan mempunyai 88 mesin sinar-X konvensional, namun hanya 33 yang kini masih berfungsi. Mesin yang berbaki ini juga berada dalam keadaan daif, kerap rosak, serta memerlukan penyelenggaraan berterusan dan alat ganti.

Mereka menarik perhatian bahawa bilik pembedahan amat memerlukan peralatan fluoroskopi, memandangkan hanya lima peranti sahaja yang tersedia berbanding 16 peranti yang wujud sebelum perang, selain memberi amaran bahawa krisis berterusan dalam perkhidmatan pengimejan perubatan akan meningkatkan komplikasi terhadap intervensi diagnosis dan rawatan bagi pesakit. 

-- BERNAMA-WAFA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan