EKONOMI

Shell Malaysia Akan Perbesar Terminal Bahan Api Di Westports

18/05/2026 03:13 PM

KUALA LUMPUR, 18 Mei (Bernama) -- Shell Malaysia Trading Sdn Bhd (SMT) mengumumkan pembesaran Terminal Bahan Api Shell Westports yang akan memperkenalkan infrastruktur import baharu merangkumi tiga tangki tambahan bagi petrol dan diesel.

Langkah itu membolehkan terminal berkenaan berupaya menampung kargo penuh kapal bersaiz sederhana bagi meningkatkan kecekapan rantaian bekalan dan memperkukuh keupayaan operasi secara keseluruhan.

Pengarah Urusan SMT dan Shell Timur Sdn Bhd Shairan Huzani Husain berkata pembinaan itu dijangka bermula pada 2026 dan akan dilaksanakan secara berfasa, dengan kesediaan operasi pembesaran disasarkan awal 2028.

“Semua kontrak bagi projek tersebut telah dianugerahkan kepada syarikat-syarikat yang diperbadankan di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini bersempena majlis pecah tanah itu.

Shairan juga berkata majlis pada hari ini menandakan kemajuan besar dalam usaha Shell memperkukuh keselamatan tenaga negara.

“Dengan pelaburan ini, kami memperkukuh terminal untuk berfungsi dengan lebih baik lagi, membawa masuk bahan api dengan lebih berdaya saing, mengendalikan jumlah yang lebih besar dan memastikan bekalan kekal stabil di seluruh negara,” tambahnya.

Shairan juga berkata 20 peratus daripada rangkaian mobiliti Shell terletak di Selangor, yang merupakan tapak paling besar syarikat itu.

Terletak di Pelabuhan Klang, salah satu hab maritim utama di rantau ini, terminal di Westports telah menjadi bahagian teras dalam rangkaian bekalan Shell sejak 2010.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan