AM

1,800 Pelajar Cemerlang SPM 2025 Parlimen Indera Mahkota Dan Kuantan Dirai

18/05/2026 11:08 AM

KUANTAN, 18 Mei (Bernama) -- Kira-kira 1,800 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 diraikan dalam Majlis Apresiasi Kecemerlangan SPM 2025 Parlimen Indera Mahkota dan Kuantan pada Sabtu lepas.

Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Datuk Ahmad Farhan Fauzi berkata majlis yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah di sini bertujuan menghargai usaha, disiplin dan kegigihan pelajar yang berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan berkenaan.

Beliau berkata pencapaian pelajar terbabit turut menyumbang kepada kejayaan Pahang yang mencatat kedudukan kedua terbaik di peringkat nasional dengan Gred Purata Negeri (GPN) 4.08.

“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada seluruh pelajar atas usaha, disiplin dan kegigihan yang diterjemahkan melalui keputusan cemerlang yang diperoleh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Farhan berkata beliau mewakili Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyampaikan insentif serta sumbangan khas kepada pelajar lepasan SPM 2025 yang memperoleh keputusan bermula 4A hingga 12A.

Sebagai usaha memperkukuh akses pendidikan digital, beliau berkata sembilan pelajar cemerlang daripada senarai eKasih telah menerima komputer riba menerusi inisiatif Peranti MADANI oleh Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM). 

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada ibu bapa dan warga pendidik yang disifatkan sebagai tunjang utama dalam membentuk kejayaan pelajar.

“Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal komited meletakkan agenda pendidikan sebagai keutamaan tertinggi demi memastikan masa depan generasi muda negara terus diperkasa dan dimartabatkan,” katanya. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan