ISTANBUL, 18 Mei (Bernama-Anadolu) -- Sekurang-kurangnya tiga terbunuh dan 10 lagi cedera pada Isnin dalam serangan udara baharu Israel di Lubnan meskipun perjanjian gencatan senjata masih berkuat kuasa, lapor Anadolu Ajansi (AA) yang memetik pihak berkuasa Lubnan dan media negara itu.
Serangan Israel ke atas bandar Douris di timur daerah Baalbek mengorbankan dua rakyat Palestin, termasuk seorang kanak-kanak perempuan, serta mencederakan seorang wanita dan seorang kanak-kanak, menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Lubnan.
Agensi berita negara NNA melaporkan bahawa serangan Israel ke atas bandar Maarakeh di selatan daerah Tyre mengorbankan seorang individu dan mencederakan lapan yang lain.
Pesawat perang Israel turut melancarkan serangan menyasarkan Siddiqine di daerah Tyre, kawasan al-Khashna di Qana, dan bandar Deir Antar di daerah Bint Jbeil, menurut agensi itu.
NNA berkata serangan kedua Israel ke atas Qana menyasarkan sebuah rumah di kawasan kejiranan al-Khashna sehingga memusnahkannya sepenuhnya.
Agensi itu menambah bahawa pesawat Israel turut menyerang bangunan kediaman di bandar Deir Aames di Tyre dalam tiga gelombang berturut-turut.
Terdahulu pada Isnin, pesawat perang Israel menyasarkan beberapa rumah di kawasan al-Qalaa antara bandar Harouf dan Doueir sehingga memusnahkannya, menurut laporan itu.
Serangan itu berlaku meskipun gencatan senjata yang diusahakan Amerika Syarikat (AS) diumumkan pada 17 April dan kemudiannya dilanjutkan sehingga awal Julai.
Sejak 2 Mac, serangan Israel di Lubnan telah mengorbankan hampir 3,000 orang, mencederakan lebih 9,000 lagi dan menyebabkan lebih 1.6 juta penduduk kehilangan tempat tinggal, iaitu kira-kira satu perlima daripada populasi negara itu, menurut pegawai Lubnan.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial