Daripada Siti Zanariah Nor Zin
BEIJING, 17 Mei (Bernama) -- Pengamal media, khususnya wartawan yang menyertai program China International Press Communication Centre (CIPCC) 2026, memainkan peranan penting dalam membantu masyarakat antarabangsa memperoleh maklumat secara langsung mengenai perkembangan di China serta memupuk pemahaman yang lebih baik terhadap kemajuan negara itu.
Penyelaras CIPCC Wei Longyu berkata peserta program tersebut turut berperanan dalam membentuk pandangan global menerusi liputan berita terhadap acara pelbagai hala antarabangsa dan serantau yang dianjurkan di China.
“Selain itu, wartawan juga boleh membentuk wacana dunia. Dengan penyertaan wartawan dari negara Selatan Global dalam program CIPCC ini, mereka dapat berkongsi perspektif Selatan Global mengenai acara pelbagai hala yang diadakan di China,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual eksklusif.
CIPCC 2026 yang dianjurkan oleh China Public Diplomacy Association menghimpunkan 85 pengamal media dari pelbagai negara bagi mengikuti program pertukaran media selama tiga bulan di Beijing, dengan sesi orientasi program tersebut diadakan pada Jumaat lepas.
Wartawan Bernama, Siti Zanariah Nor Zin dipilih sebagai satu-satunya wakil media Malaysia bagi program tersebut.
Peserta program akan mengikuti pelbagai aktiviti termasuk latihan kewartawanan, program diplomatik, penghayatan budaya, lawatan rasmi di dalam dan luar Beijing, serta latihan praktikal di organisasi media utama China.
Wei berkata program pertukaran dan latihan media itu memberi peluang kepada peserta untuk saling membina hubungan, termasuk dengan masyarakat China dan Selatan Global menerusi laporan yang dihasilkan.
“Sebahagian peserta CIPCC ini datang dari negara kecil dan mungkin merupakan satu-satunya wartawan yang mewakili negara mereka. Laporan mereka mengenai acara rasmi di China menjadi satu-satunya sumber maklumat bagi masyarkat di negara masing-masing,” katanya.
Beliau berkata bahawa program itu membolehkan pengamal media dari rantau berbeza seperti Asia Pasifik, Afrika dan Amerika Latin bertukar pandangan serta memperoleh pemahaman yang lebih luas antara satu sama lain.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial