ARAU, 17 Mei (Bernama) -- Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mendahului senarai 24 penerima darjah kebesaran sempena sambutan ulang tahun keputeraan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail ke-83 pada sesi pertama Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Negeri Perlis di Istana Arau, di sini, hari ini.
Kerajaan Negeri Perlis dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan Tuanku Syed Sirajuddin berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Seri Setia Syed Sirajuddin Jamalullail (S.S.S.J) yang membawa gelaran Datuk Seri Diraja kepada Raja Muda Perlis.
Selain itu, Raja Perlis turut berkenan mengurniakan S.S.S.J kepada Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan Tengku Puteri Mahkota Perlis Datuk Seri Datin Paduka Hajah Sharifah Fazira Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
Istiadat penganugerahan darjah kebesaran itu berlangsung di Bilik Biru, Istana Arau.
Sementara itu, menurut kenyataan tersebut Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar merupakan antara 21 penerima darjah kebesaran lain pada istiadat penganugerahan yang berlangsung di Balairung Seri, Istana Arau.
Shamsul Azri dianugerahkan Darjah Seri Paduka Mahkota Perlis (S.P.M.P) yang membawa gelaran Datuk Seri selain Panglima Angkatan Tentera Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman, Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dan Pengerusi Bersama MIGHT Tan Sri Dr Ahmad Tajuddin Ali.
Menurut kenyataan itu Darjah Dato’ Setia Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail (D.S.S.J) yang membawa gelaran Datuk Paduka dianugerahkan kepada Kerabat Diraja Tengku Ariez Hazaril Tengku Datuk Paduka Abdul Halim dan Ketua Pengarah Eksekutif PPK Teknologi Sdn Bhd Dr Aminuddin Datuk Paduka Ahmad Kayani manakala Timbalan Ketua Pengarah (Operasi Percukaian) Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Shaharrudy Othman menerima Darjah Dato’ Paduka Mahkota Perlis (D.P.M.P) yang membawa gelaran Datuk.
Selain itu, lima individu dianugerahkan Darjah Dato’ Setia Paduka Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail (D.S.P.J) yang menerima gelaran Datuk iaitu Panglima Markas 5 Divisyen Mejar Jeneral Shamshor Jaafar, Ketua Pengarah Operasi dan Latihan (OPLAT) Markas Tentera Darat Mejar Jeneral Hashim Osman, Dr Jasmeet Singh Saren a/l Manjit Singh daripada Kementerian Kesihatan (KKM), Kapten Wan Muzairul Wan Mahazir (Firefly Airlines) dan Presiden Institut Akauntan Malaysia (MIA) Saniza Said.
Dalam pada itu, Darjah Dato’ Panglima Sirajuddin Jamalullail (D.P.S.J) yang membawa gelaran Datuk dikurniakan kepada Pengarah Perubatan Hospital Pakar KPJ Perlis Dr Hari Ram a/l Ramayya, Penasihat Undang-Undang, Universiti Sains Malaysia (USM) Dr Khairul Anuar Che Azmi, Pengarah Urusan Konsortium Bumita Nepta Sdn Bhd Lee Mo Toi dan Tan Swee Leong.
Menurut kenyataan itu, mengakhiri senarai penerima darjah kebesaran bagi sesi pertama itu Pengarah Pengurusan Latihan Markas Pemerintahan Latihan dan Doktrin Tentera Darat (PLDTD) Brigedier Jeneral Azhar Ahmad, Timbalan Pengarah di Bahagian Matrikulasi, Kementerian Pendidikan (KPM) Nor Asnidar Aziz dan Setiausaha Kehormat Persatuan Olahraga Amatur Negeri Perllis Iyaru a/l Muthusamy yang menerima Darjah Setia Mahkota Perlis (S.M.P).
Turut berangkat pada istiadat penganugerahan itu Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial