JENAYAH & MAHKAMAH

Dua Rakan Sekerja Maut Kereta Terbabas, Terbakar Di Jalan Sungai Besi

17/05/2026 12:22 PM

KUALA LUMPUR, 17 Mei (Bernama) -- Dua rakan sekerja maut selepas kereta dinaiki mereka terbabas sebelum terbakar dalam kemalangan di Jalan Sungai Besi dari arah pusat bandar menghala ke Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata kejadian kira-kira 3.01 pagi itu melibatkan sebuah Honda City Hatchback berwarna kelabu yang dipandu lelaki tempatan berusia 29 tahun bersama penumpang wanita tempatan berusia 23 tahun.

Beliau berkata kedua-dua mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang ke Ampang selepas menghadiri majlis makan malam melibatkan sebuah syarikat perbankan antarabangsa.

“Siasatan awal mendapati ketika melalui satu selekoh di lokasi kejadian, pemandu dipercayai gagal mengawal kenderaan sebelum terbabas dan melanggar tembok tiang di sebelah kiri jalan lalu menyebabkan kenderaan terbakar sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Zamzuri berkata pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Cheras membantu operasi memadam kebakaran serta mengeluarkan mangsa dari kenderaan.

“Akibat kemalangan tersebut, pemandu rentung manakala penumpang wanita mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan kedua-duanya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh Penolong Pegawai Perubatan Hospital Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.

“Orang ramai atau saksi kejadian yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan