KUALA LUMPUR, 16 Mei (Bernama) -- Malaysia berhasrat memperkukuh kerjasama dengan Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat) dalam aspek kebolehdiaman bandar, pendigitalan bandar dan Kajian Semula Sukarela Tempatan (VLR) sebagai sebahagian daripada komitmennya untuk memajukan bandar berdaya tahan dan inklusif di tengah-tengah ketidaktentuan geopolitik yang semakin meningkat.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming tiba di Baku, Azerbaijan hari ini bagi lawatan kerja rasmi, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dalam diplomasi bandar global ketika negara-negara berdepan cabaran semakin kompleks yang menjejaskan bandar dan komuniti di seluruh dunia.
Selaku Presiden Perhimpunan UN-Habitat, Nga memulakan lawatannya dengan mengadakan pertemuan bersama Pengarah Eksekutif UN-Habitat Anacláudia Rossbach bagi membincangkan usaha memperkukuh kerjasama global dalam pelaksanaan Pelan Strategik UN-Habitat 2026-2029.
Beliau berkata perbincangan itu menumpukan kepada beberapa potensi kerjasama termasuk cadangan penubuhan Pusat Kecemerlangan Global bagi Kebolehdiaman Bandar di Malaysia, pelancaran Makmal Pendigitalan Bandar UN-Habitat yang memfokuskan kepada kecerdasan buatan (AI) dan data raya dalam tadbir urus tempatan, selain cadangan penubuhan Dana Solidariti VLR Global bagi menyokong program bimbingan antara negara membangun dalam pelaksanaan VLR.
“Pertemuan itu memberi tumpuan kepada penyelesaian bandar yang praktikal dan berteraskan rakyat, dengan Malaysia mengetengahkan pendekatannya mengintegrasikan perumahan mampu milik, inisiatif bandar pintar dan kesejahteraan komuniti bagi menangani cabaran urbanisasi yang sentiasa berkembang,” katanya.
“Malaysia tegas dengan komitmennya untuk memajukan Agenda Bandar Baharu menerusi kerjasama pelbagai hala yang lebih kukuh, pertukaran pengetahuan serta usaha pembangunan kapasiti, khususnya di rantau Asia Pasifik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nga berkata sebagai antara negara sekian lama memperjuangkan agenda perbandaran mampan, Malaysia akan terus memberi keutamaan kepada penyediaan perumahan mampu milik di bawah agenda pembangunan negara, di samping melaksanakan dasar menggalakkan bandar rendah karbon, penambahbaikan tadbir urus tempatan serta transformasi digital perkhidmatan bandar.
Beliau berkata Malaysia kekal komited untuk bekerjasama rapat dengan UN-Habitat dan rakan antarabangsa bagi memastikan bandar menjadi lebih berdaya tahan, inklusif dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.
“Ini termasuk memperkukuh bandar dan komuniti agar mampu berdepan ketidaktentuan global, kejadian iklim ekstrem serta krisis kos sara hidup. Kita kekal teguh dalam komitmen untuk menyediakan kualiti hidup yang lebih baik untuk semua,” katanya.
Sesi ke-13 Forum Bandar Sedunia (WUF13) anjuran bersama UN-Habitat dan Kerajaan Azerbaijan bertemakan Housing the World: Safe and Resilient Cities and Communities akan berlangsung di Baku dari 17 hingga 22 Mei ini.
Forum berkenaan dijangka menghimpunkan kira-kira 30,000 peserta dari 180 negara bagi bertukar pengetahuan, berkongsi amalan terbaik serta memperkukuh kerjasama global dalam menangani cabaran urbanisasi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial