SEREMBAN, 16 Mei (Bernama) -- Bangunan ikonik Teratak Perpatih yang menjadi identiti Muzium Negeri Sembilan, kini genap berusia 40 tahun sekali gus terus menjadi antara tarikan utama sempena Sambutan Hari Muzium Antarabangsa (HMA) Peringkat Negeri Sembilan, hari ini.
Pengarah Lembaga Muzium Negeri Sembilan Aziz Mohd Ghorip berkata bangunan tersebut, pada asalnya dibina sebagai astaka pertandingan Musabaqah al-Quran Peringkat Kebangsaan pada 1981 dan ketika itu Negeri Sembilan menjadi tuan rumah.
Beliau berkata seni bina astaka itu menggabungkan elemen warisan Negeri Sembilan dan Minangkabau, sebelum kerajaan negeri mengambil keputusan mengekalkannya sebagai bangunan kekal kerana nilai sejarah serta keunikannya yang tersendiri.
“Selepas musabaqah, kerajaan negeri melihat bangunan ini sangat istimewa untuk dirobohkan, maka astaka itu dipindahkan dari padang Perbandaran Seremban (padang MBS) ke lokasi sekarang. Kerja baik pulih serta naik taraf dilakukan dari 1981 hingga 1985, sebelum ia dirasmikan sebagai muzium pada 1986.
“Struktur seni bina muzium sekarang ini, warisan sejarah yang berusia 40 tahun, ia masih cantik, selamat dan kukuh untuk digunakan,” katanya kepada Bernama selepas merasmikan HMA Peringkat Negeri Sembilan di sini hari ini.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan merangkap Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Muzium Negeri Sembilan Datuk Mohd Zafir Ibrahim.
Aziz berkata bangunan itu menggunakan gabungan elemen moden termasuk struktur batu dan paku, kerana pembinaannya lebih baharu berbanding Istana Lama Seri Menanti yang dibina pada 1902 menggunakan teknik pasak tanpa paku.
Beliau berkata sebelum Teratak Perpatih dijadikan muzium Negeri Sembilan, muzium negeri beroperasi di bangunan Istana Ampang Tinggi di taman budaya, Lake Garden bermula 1953 hingga 1985.
Dalam pada itu, beliau berkata beberapa inisiatif baharu akan diperkenalkan bagi menarik minat generasi muda termasuk program bermalam di muzium dan pembukaan muzium pada waktu malam setiap hujung minggu bermula Julai ini.
“Antara pengisian yang dirancang ialah persembahan busking, persembahan kebudayaan dan siri kuiz interaktif, selain penyediaan sewaan busana tradisional Negeri Sembilan untuk pengunjung.
Beliau berkata bersempena sambutan HMA, Muzium Negeri Sembilan turut mengadakan pelancaran “Pameran Naga” yang menampilkan tema berkaitan falsafah dan simbolisme naga dalam budaya tempatan.
“Pameran yang berlangsung selama tiga bulan sehingga 31 Julai ini, diharap dapat membuka ruang pemahaman yang lebih luas kepada masyarakat tentang nilai dan makna warisan budaya Naga yang diwarisi sejak turun-temurun melibatkan pelbagai kaum”, katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial