KUANTAN, 16 Mei (Bernama) -- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan Selamat Hari Guru kepada warga pendidik di Pahang dan seluruh negara.
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah menzahirkan penghargaan atas jasa, pengorbanan dan dedikasi guru yang tidak pernah jemu mendidik serta membentuk generasi berilmu, berakhlak dan berdaya saing demi masa depan agama, bangsa serta negara.
Menerusi hantaran di Facebook Kesultanan Pahang baginda berdua bertitah guru merupakan tunjang utama dalam pembangunan modal insan serta memainkan peranan penting dalam melahirkan masyarakat yang berilmu pengetahuan, berintegriti dan mempunyai semangat patriotisme yang tinggi.
Baginda berdua turut mendoakan seluruh warga pendidik sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik, kekuatan dan keberkatan dalam meneruskan amanah mendidik generasi pewaris negara.
Hari Guru disambut setiap 16 Mei dengan tema tahun ini “Guru Bitara, Nadi Negara”.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial