AM

Jelajah Belia Rukun Negara 2026 Perkukuh Patriotisme, Jati Diri Belia Malaysia

15/05/2026 11:11 PM

KUALA LUMPUR, 15 Mei (Bernama) -- Program Jelajah Belia Rukun Negara 2026 akan dilaksana dari Mei hingga Oktober ini melibatkan 15 institusi pengajian tinggi terpilih di seluruh negara dalam usaha memperkukuh perpaduan, patriotisme dan jati diri belia Malaysia.

​Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata program itu dilaksanakan menerusi pendekatan interaktif dan berasaskan pengalaman bagi memperkukuh penghayatan nilai Rukun Negara dalam kehidupan seharian.

“Usaha ini turut memberi penekanan terhadap pembinaan nilai, integriti dan jati diri belia sebagai asas memperkukuh perpaduan serta pembinaan negara bangsa,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini. 

Beliau turut menyertakan infografik mengenai program anjuran Kementerian Perpaduan Negara melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional itu, yang menyasarkan penyertaan belia berumur 18 hingga 30 tahun.

Setiap siri program akan berlangsung selama dua hari satu malam dengan pengisian berteraskan empat tema utama iaitu “Kenapa dan Mengapa”, “Menjunjung Rukun Negara”, “Meraikan Kepelbagaian” serta “Pembinaan Nilai dan Jati Diri”.

Menurut infografik itu, tema berkenaan memberi fokus kepada pemahaman nasionalisme dan kepentingan Rukun Negara sebagai asas perpaduan negara selain menghayati serta mengamalkan nilai Rukun Negara dalam kehidupan seharian.

Ia turut menekankan penghargaan terhadap kepelbagaian sebagai kekuatan dalam memperkukuh perpaduan serta pembentukan nilai, integriti dan jati diri berteraskan semangat patriotisme.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan