KUALA LUMPUR, 15 Mei (Bernama) -- Keutamaan dasar jangka pendek perlu tertumpu pada pengekalan kestabilan makroekonomi dan pada masa yang sama memelihara penampan mustahak susulan kejutan bekalan global akibat konflik Asia Barat.
Menerusi rencana dalam Buletin Suku Tahunan Bank Negara Malaysia (BNM), bank pusat memaklumkan keutamaan segera adalah untuk memastikan ketersediaan bekalan penting di samping melanjutkan penggunaan penampan sedia ada seperti inventori bahan api dan input mustahak untuk mengurangkan kejutan bekalan.
“Tindak balas dasar perlu terus dilaksanakan secara berhemat, bersasar dan seimbang dengan memberikan tumpuan kepada pengawalan tekanan kos dan pencegahan pelarasan harga yang tidak teratur dan pada masa sama, segmen ekonomi yang paling terkesan perlu terus dilindungi.
“Selain meneruskan pelaksanaan subsidi bersasar, BNM juga telah memperkenalkan Kemudahan Bantuan Kestabilan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) (SME SRF) iaitu kemudahan pembiayaan berjumlah RM5 bilion bagi menyokong PKS berdaya maju yang terjejas akibat konflik ini,” menurutnya.
Gabenor BNM Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata usaha bersasar oleh kerajaan, institusi kewangan, perniagaan dan isi rumah adalah penting untuk membantu negara menghadapi kejutan berterusan itu.
“Kita perlu meneliti langkah bersasar yang perlu diberikan kepada sektor-sektor yang terjejas. Dengan cara itu, kita akan dapat mengekalkan unjuran pertumbuhan.
“Semua pihak mempunyai peranan masing-masing. Kerajaan akan terlibat untuk memastikan bekalan mencukupi dan bantuan kepada keluarga yang terjejas manakala bank juga boleh membantu dengan menyediakan bantuan tertentu kepada pihak yang terkesan,” katanya dalam sidang media selepas mengumumkan prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku pertama 2026.
Menurut BNM, bersama-sama dengan skim jaminan kredit dan sokongan pembiayaan yang berterusan, langkah ini membantu mengurangkan tekanan aliran tunai jangka pendek dan memastikan akses yang berterusan kepada modal kerja.
Pada masa yang sama, memelihara kestabilan monetari dan kewangan kekal penting memandangkan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) mengambil maklum akan ketidakpastian berikutan konflik yang sedang berlaku di Asia Barat.
Menurutnya kesannya terhadap ekonomi global dan ekonomi Malaysia akan bergantung pada perkembangan hal ini.
“Pada tahap Kadar Dasar Semalaman (OPR) semasa, MPC berpendapat bahawa pendirian dasar monetari adalah wajar dan konsisten dengan prospek kestabilan harga yang berterusan dan pertumbuhan ekonomi yang mampan.
“MPC akan terus memantau perkembangan semasa dan menilai imbangan risiko berhubung dengan prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negeri,” menurutnya.
Selain itu, BNM memaklumkan pengukuhan keterjaminan makanan dan tenaga, pempelbagaian sumber import serta peningkatan keupayaan bekalan dalam negeri adalah sangat penting supaya kurang terjejas berikutan kejutan luaran.
Usaha untuk memperkukuh jalinan perdagangan serantau serta tindakan mempercepat peralihan kepada tenaga boleh baharu dan ekonomi hijau juga terus membantu mengurangkan kekangan bekalan serta kebergantungan pada bahan api fosil dan volatiliti harga tenaga global.
Menurut BNM, kesimpulannya, sebagai ekonomi kecil dan terbuka, Malaysia turut terkesan dengan perkembangan ini.
Akhirnya, magnitud kesan makroekonomi akan bergantung pada tempoh dan keseriusan konflik serta keberkesanan tindak balas dasar dan pelarasan peringkat syarikat dalam mengurangkan kesan limpahan kepada ekonomi benar.
“Usaha dasar kekal tertumpu pada pemeliharaan makroekonomi dan kestabilan kewangan termasuk memastikan keadaan kewangan yang teratur, menyokong isi rumah dan syarikat yang terkesan melalui langkah bersasar serta memelihara keadaan bekalan dalam negeri.
“Pemantauan berterusan serta fleksibiliti dasar adalah amat penting bagi membendung kesan akibat peningkatan kos, gangguan perdagangan dan perubahan sentimen pasaran kewangan berikutan persekitaran global yang tidak menentu,” menurut BNM.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial