KUCHING, 15 Mei (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sarawak dicadangkan menubuhkan satu entiti khusus dikenali sebagai Lembaga Industri Ternakan Sarawak (SLIB) bagi menerajui pembangunan industri ternakan secara lebih tersusun, moden dan berskala besar di negeri berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri Serembu Datuk Miro Simuh berkata penubuhan lembaga berkenaan penting memandangkan Sarawak masih bergantung tinggi kepada import daging lembu, kambing dan produk ternakan dari luar negara, selain berdepan cabaran keselamatan makanan global serta kenaikan kos import.
Beliau berkata Sarawak mempunyai tanah yang luas, sumber semula jadi mencukupi serta potensi besar untuk membangunkan industri ruminan seperti lembu, kerbau dan kambing secara komersial.
“Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (DVSS) pada masa ini lebih tertumpu kepada fungsi regulatori seperti kawalan penyakit ternakan, biosekuriti, penguatkuasaan dan kawalan import.
“Justeru, kita memerlukan sebuah lembaga pembangunan yang lebih fokus kepada aspek ekonomi, pelaburan dan pembangunan industri ternakan secara menyeluruh,” katanya ketika membahaskan usul terima kasih atas titah Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.
Cadangan sama turut disuarakan Dr Simon Sinang Bada (GPS-Tebedu) yang menggesa Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak menubuhkan SLIB selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
Beliau berkata lembaga itu boleh membantu meningkatkan tahap sara diri (SSL) bagi pengeluaran daging lembu dan kambing kepada sekurang-kurangnya 25 peratus menjelang 2030, selain mengurus pembangunan kawasan penternakan babi, pusat pembiakan ruminan dan menarik pelaburan sektor swasta.
“DVSS menghadapi isu tenaga kerja… dengan penubuhan ini, DVSS boleh memberi tumpuan serius kepada pembasmian penyakit, kuarantin, penguatkuasaan dan perkhidmatan makmal,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial