KUALA LUMPUR, 15 Mei (Bernama) -- Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) mengesahkan komitmen menyokong Kemudahan Penstabilan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME SRF) Bank Negara Malaysia dalam tempoh ketidaktentuan ekonomi global ketika ini.
Penglibatan CGC adalah dengan menyediakan bantuan kewangan jangka pendek kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang mengalami tekanan aliran tunai akibat cabaran luaran yang berkaitan dengan konflik Asia Barat.
Pengerusi CGC Malaysia Datuk Mohammed Hussein berkata keupayaan menghasilkan pakej penstabilan yang komprehensif dalam tempoh hanya dua bulan selepas berlaku konflik Asia Barat, juga membuktikan kematangan dan kecekapan sektor perkhidmatan kewangan memberi tindak balas terhadap situasi semasa.
Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata usaha itu turut memaparkan kerjasama kukuh antara Kementerian Kewangan, BNM dan institusi kewangan yang mengambil bahagian.
“Sebagai sebuah institusi jaminan negara untuk PKS, CGC berbesar hati dapat memainkan peranan penting dalam usaha tindak balas ini. Mandat kami sejak sekian lama adalah memastikan aliran kredit terus tersedia kepada perniagaan berdaya maju sewaktu tempoh mencabar dan SME SRF merupakan bentuk intervensi kitaran yang sememangnya menjadi mandat CGC,” katanya.
Di bawah SME SRF, PKS yang layak berkemungkinan mendapat kemudahan pembiayaan modal kerja sehingga RM750,000 bagi tempoh sehingga lima tahun.
Kadar pembiayaan itu ditetapkan pada maksimum 3.75 peratus setahun, termasuk fi jaminan sebanyak 0.5 peratus setahun bagi memastikan pembiayaan mudah diakses oleh semua PKS.
Kemudahan berkenaan akan disediakan melalui institusi kewangan yang mengambil bahagian (PFI).
Sementara itu, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif CGC Mohamed Nazri Omar pula berkata CGC akan bekerjasama rapat dengan PFI bagi memastikan PKS yang berdaya maju tidak terjejas akibat tekanan mudah tunai jangka pendek.
“Menerusi langkah mengambil sebahagian risiko kredit menerusi jaminan, kami membolehkan institusi kewangan menyalurkan pembiayaan modal kerja dengan lebih efisien dan pada kadar konsesi.
“Ini membolehkan perniagaan terjejas meneruskan operasi serta melindungi pekerjaan dengan gangguan yang minimum,” katanya.
Kemudahan itu terbuka kepada sebahagian besar entiti perniagaan, termasuk pemilikan tunggal, perkongsian, perkongsian liabiliti terhad, syarikat sendirian berhad dan firma profesional namun dengan syarat diperbadankan di Malaysia serta mempunyai sekurang-kurangnya 51 peratus pegangan rakyat negara ini.
Usahawan PKS yang berminat boleh menghubungi talian pusat khidmat pelanggan CGC di 03-7880 0088 atau csc@cgc.com.my selain mengunjuni mana-mana cawangan CGC.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial