EKONOMI

Allianz General Perkasa Ketahanan Perniagaan Dengan Penyelesaian Yang Boleh Disesuaikan

13/05/2026 11:40 AM

KUALA LUMPUR, 12 Mei (Bernama) -- Allianz General Insurance Company (Malaysia) Bhd melahirkan komitmen untuk memperkasakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan penyelesaian insurans yang disesuaikan bagi mengukuhkan daya tahan termasuk membantu mereka menyesuaikan diri dengan pengembangan persekitaran risiko di tengah-tengah tekanan ekonomi.

Ketua Pegawai Eksekutif Sean Wang Wee Keong berkata penyelesaian itu akan memastikan PKS mempunyai alat dan sokongan yang diperlukan untuk pulih selain merebut peluang pertumbuhan, termasuk bantuan kewangan bagi mendepani penutupan perniagaan yang tidak dijangka dan perlindungan untuk pekerja asing.

"Matlamat kami adalah untuk menyediakan perniagaan dengan jaringan keselamatan yang bukan sahaja akan melindungi aset mereka tetapi turut membolehkan mereka pulih dan membina semula dengan lebih kukuh apabila berlaku kejadian yang tidak dijangka. Kami komited sepenuhnya untuk menjadi rakan kongsi yang dipercayai kepada PKS selain sebagai satu entiti komersial di Malaysia," katanya melalui satu kenyataan.

Syarikat itu menawarkan bantuan kewangan sekali sahaja sehingga RM20,000 di bawah polisi Allianz Business Shield, Standard Fire atau Commercial Fire untuk menyokong pemegang polisi korporat apabila berlaku keadaan yang memaksa premis yang diinsuranskan ditutup selama sekurang-kurangnya 48 jam.

Bantuan itu melengkapkan perlindungan yang lebih luas di bawah Allianz Business Shield, yang menyediakan perlindungan yang disesuaikan berdasarkan keperluan pelanggan.

Polisi Standard Fire dan Commercial Fire juga boleh diperluaskan untuk melindungi bukan sahaja kerugian berkaitan kebakaran tetapi risiko lain seperti banjir serta kerosakan akibat pokok tumbang.

Inisiatif ini bermula dari 1 Feb 2026 hingga 31 Dis 2026 atau sehingga jumlah pembayaran mencecah RM2.5 juta, yang mana lebih awal.

Secara berasingan, Allianz General berkata ia turut meningkatkan sokongan kepada majikan melalui polisi Penghospitalan dan Pembedahan Pekerja Asing (FWHS), yang disasarkan bagi meringankan beban kewangan sekiranya pekerja asing memerlukan rawatan hospital akibat kemalangan atau penyakit.

Ia juga menyediakan perlindungan tambahan melalui perlindungan Kemalangan Peribadi Kumpulan bernilai RM10,000 percuma setahun, yang merangkumi faedah untuk kematian akibat kemalangan atau hilang upaya kekal. Perlindungan disertakan dengan setiap polisi FWHS yang dikeluarkan antara 1 Feb 2026 dan 31 Dis 2026.

-- BERNAMA 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan