EKONOMI

Lebihan Akaun Semasa Malaysia Naik Kepada RM15.2 Bilion Pada Suku Pertama, 3 Peratus KDNK

15/05/2026 01:06 PM

KUALA LUMPUR, 15 Mei (Bernama) -- Malaysia terus merekodkan lebihan dalam Imbangan Akaun Semasa (CAB) dalam suku pertama 2026 (S1 2026) berjumlah RM15.2 bilion, bersamaan dengan 3.0 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), secara ketara lebih tinggi berbanding RM2.7 bilion pada suku keempat 2025 (S4 2025).

Sementara, statistik Imbangan Pembayaran dan Kedudukan Pelaburan Antarabangsa (IIP) bagi suku pertama 2026 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), menunjukkan prestasi kukuh yang terutamanya didorong oleh lebihan yang lebih besar dalam akaun barangan dan pengukuhan berterusan dalam akaun perkhidmatan. 

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pertumbuhan dalam lebihan akaun semasa pada suku pertama 2026 disokong oleh permintaan luaran yang berterusan bagi eksport Malaysia, di samping prestasi sektor perkhidmatan yang semakin baik. 

“Pada suku pertama 2026, Malaysia merekodkan lebihan akaun barangan sebanyak RM33.6 bilion berbanding RM24.3 bilion pada suku sebelumnya.

“Prestasi ini mencerminkan daya tahan dalam eksport negara, disokong oleh permintaan global yang stabil bagi produk eksport utama Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Menurut DOSM lagi, akaun perkhidmatan terus mencatatkan lebihan lebih tinggi sebanyak RM6.4 bilion berbanding RM5.3 bilion dalam suku sebelum. 

“Peningkatan ini terutamanya disumbangkan oleh perkhidmatan pembaikan dan penyelenggaraan n.i.e, yang beralih daripada defisit sebanyak RM154.5 juta kepada lebihan RM503.1 juta pada suku pertama 2026,” katanya. 

Dalam pada itu, DOSM berkata Malaysia merekodkan aliran masuk bersih yang kukuh, dengan pelaburan langsung asing (FDI) meningkat kepada RM22.8 bilion pada suku pertama 2026 berbanding RM26.6 bilion pada suku sebelumnya, terutamanya disokong oleh instrumen hutang, khususnya pinjaman yang diterima dari luar negara, diikuti oleh ekuiti dan dana pelaburan saham. 

Katanya, mengikut sektor, aliran masuk FDI kebanyakannya disalurkan ke dalam sektor perkhidmatan, terutamanya dalam subsektor komunikasi dan maklumat, manakala sektor perlombongan dan pengkuarian merupakan penyumbang kedua terbesar.  

“Pada akhir suku pertama 2026, kedudukan FDI terkumpul sebanyak RM1.11 trilion. Aliran masuk ini didorong oleh pelaburan dari Singapura, China dan Hong Kong,” tambahnya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan