BEIJING, 15 Mei (Bernama-Kyodo) -- Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dan Presiden China Xi Jinping akan memulakan hari kedua rundingan sidang kemuncak mereka di Beijing pada Jumaat, di tengah-tengah jangkaan dua ekonomi terbesar dunia itu akan memeterai perjanjian perniagaan termasuk peningkatan pembelian produk pertanian Amerika oleh China, lapor Kyodo News.
Selepas membincangkan pelbagai isu termasuk perdagangan, masa depan Taiwan dan perang AS-Israel yang sedang berlanjutan terhadap Iran dalam rundingan kira-kira dua jam pada hari pertama, Trump dan Xi dijangka membincangkan kemungkinan melanjutkan persetujuan sementara selama setahun bagi meredakan konflik perdagangan yang dicapai pada Oktober lepas.
Rundingan itu dijadual diteruskan di Zhongnanhai, kompleks kepimpinan Parti Komunis China di Beijing, termasuk dalam sesi minum teh dan jamuan tengah hari yang dihoskan Xi.
Xi pada Khamis menegaskan bahawa hubungan ekonomi dua hala bersifat saling menguntungkan, selain menyambut baik “hasil yang secara umumnya seimbang dan positif” dicapai perunding kedua-dua negara dalam rundingan perdagangan saat akhir di Korea Selatan sebelum sidang kemuncak itu, menurut Kementerian Luar China.
Setiausaha Perbendaharaan AS Scott Bessent dalam wawancara dengan saluran berita perniagaan AS, CNBC, berkata kedua-dua negara akan membincangkan “lembaga pelaburan yang akan bertanggungjawab terhadap pelaburan dalam bidang tidak sensitif”, dan beliau menjangkakan China akan membuat tempahan besar pesawat Boeing.
Bessent turut berkata AS dan China akan mewujudkan satu protokol bagi memacu pembangunan kecerdasan buatan (AI) secara selamat. Kedua-dua negara merupakan pesaing dalam pembangunan teknologi AI.
Trump dalam wawancara dengan Fox News yang disiarkan pada Khamis berkata Xi bersetuju untuk menempah 200 pesawat Boeing.
Trump diiringi eksekutif tertinggi daripada syarikat utama Amerika termasuk Elon Musk dari Tesla, Jensen Huang dari Nvidia dan Tim Cook dari Apple, yang turut menyertai sebahagian sidang kemuncak itu, menurut White House.
Pada Khamis, Perdana Menteri China Li Qiang turut bertemu wakil perniagaan AS dan menegaskan komitmen Beijing terhadap “pembukaan tahap tinggi”, dengan harapan lebih banyak penyertaan syarikat Amerika dalam pasaran China, menurut Agensi Berita Xinhua.
-- BERNAMA-KYODO
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial