AM

Inovasi Hendaklah Sentiasa Dipandu Nilai Integriti, Etika - Raja Muda Perlis

16/05/2026 06:18 PM

ARAU, 16 Mei (Bernama) -- Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah inovasi hendaklah sentiasa dipandu oleh nilai integriti, etika serta tanggungjawab sosial dalam era teknologi dan kecerdasan buatan (AI) yang berkembang pesat.

Baginda bertitah kejayaan sebenar bukan hanya diukur melalui kemenangan atau pengiktirafan, tetapi pada kemampuan hasil ciptaan itu untuk menyelesaikan masalah sebenar dan memberi manfaat kepada manusia serta alam sekitar.

"Setiap inovasi dan penyelidikan sentiasa berpaksikan integriti dan etika. Kejujuran dalam proses kerja akan memastikan hasil benar-benar berkualiti dan diyakini, serta membawa keberkatan dalam setiap usaha dilakukan," titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bertitah demikian ketika menutup Perlis International Engineering Invention & Innovation Exhibition (Pi-ENVEX) 2026 di UniMAP di sini hari ini.

Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis yang juga Pro-Canselor UniMAP Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Sementara itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra menyeru penyelidik dan pelajar menjadikan penyertaan dalam Pi-ENVEX itu sebagai medan pembelajaran dan penambahbaikan diri.

"Setiap pengalaman, sama ada menang atau belum berjaya, merupakan peluang untuk menimba ilmu, memperkukuh kemahiran dan meningkatkan keyakinan diri dalam menghadapi cabaran yang lebih besar pada masa hadapan," titah Raja Muda Perlis.

Baginda turut menzahirkan ucapan syabas dan tahniah kepada UniMAP atas pencapaian luar biasa tahun lepas, apabila Kajian Pengesanan Graduan mencatatkan Kadar Bekerja Graduan 99.3 peratus dan Kadar Kebolehpasaran Graduan 99.4 peratus.

"Sekali gus membuktikan kualiti pendidikan UniMAP dalam melahirkan graduan berdaya saing, relevan dan bersedia menghadapi dunia kerjaya," titah Tuanku Syed Faizuddin Putra.

Dalam pada itu, Naib Canselor UniMAP Datuk Prof Dr Zaliman Sauli dalam ucapannya berkata Pi-ENVEX 2026 itu yang memasuki edisi ke-13 tahun ini menghimpunkan 221 produk dari dalam dan luar negara melibatkan kategori sekolah rendah, sekolah menengah, universiti dan antarabangsa.

“Tahun ini, Pi-ENVEX 2026 berjaya menarik penyertaan dari 11 negara iaitu Indonesia, Vietnam, Thailand, Taiwan, Romania, Sudan, Yemen, Nigeria, Mesir, Palestin dan Malaysia, sekali gus membuktikan kerelevanannya sebagai platform inovasi dan penyelidikan bertaraf antarabangsa. Terima kasih kepada semua peserta atas komitmen serta penyertaan dalam menjayakan Pi-ENVEX 2026,” katanya.

Zaliman berkata penganjuran tahun ini juga amat bermakna kerana berlangsung bersempena dengan 25 tahun penubuhan UniMAP.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan