DUNIA

Bursa Malaysia Tinggi Pada Tengah Hari Dipacu Belian Saham Modal Kecil

14/05/2026 02:33 PM

KUALA LUMPUR, 14 Mei (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi Khamis dengan lebih tinggi, didorong minat belian bagi saham bermodal kecil ketika beberapa kaunter wajaran tinggi diasak aktiviti pengambilan untung.

Pada 12.30 tengah hari, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI naik 1.31 mata atau 0.07 peratus kepada 1,747.62 berbanding penutupan Rabu pada 1,746.31.

Indeks penanda aras yang dibuka menokok 2.79 mata pada 1,749.10, bergerak dalam julat 1,748.18 dan 1,750.59 sepanjang sesi dagangan.

Sentimen pasaran menyaksikan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 506 berbanding 454 manakala 557 kaunter tidak berubah, 1,210 tidak diniagakan dan 27 digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 2.15 bilion unit bernilai RM1.30 bilion.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata jumlah dagangan harian kekal melebihi paras empat bilion saham yang menunjukkan aktiviti dagangan lebih tinggi dalam kalangan saham bermodal kecil.

"Bagi hari ini, kami menjangkakan indeks bergerak dalam julat 1,740-1,760,” katanya.

Sementara itu, Hong Leong Investment Bank Bhd menyatakan sentimen pasaran dijangka kekal berhati-hati serta dipengaruhi oleh perkembangan utama dengan pasaran memantau rapat pertemuan antara Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan Presiden China Xi Jinping di Beijing sebagai pemangkin utama dalam masa terdekat.

“Perhatian turut tertumpu kepada musim pengumuman pelaporan pendapatan suku pertama 2026 ketika ini yang akan diteliti pelabur bagi mendapatkan petunjuk sama ada syarikat mampu bertahan daripada tekanan luaran termasuk risiko geopolitik, gangguan rantaian bekalan global, harga tenaga yang tinggi serta cabaran pertumbuhan yang mulai muncul,” menurutnya.

Saham wajaran tinggi Maybank and IHH Healthcare masing-masing naik dua sen kepada RM11.20 dan RM9.01, CIMB meraih satu sen kepada RM7.93, Public Bank sebaliknya susut dua sen kepada RM4.86 dan Tenaga Nasional turun lapan sen kepada RM14.64.

Bagi saham paling aktif, Nationgate meningkat 7.5 sen kepada 86.5 sen dan GIIB naik 2.5 sen kepada 29.5 sen manakala Zetrix AI susut setengah sen kepada 83 sen dan SMRT kehilangan dua sen kepada 25 sen.

Kaunter paling untung didahului Nestle yang naik RM2.26 kepada RM101.90, VSTecs menokok 43 sen kepada RM5.90, Malaysian Pacific meningkat 30 sen kepada RM44.10 dan Kelington meraih 29 sen kepada RM7.01.

Bagi kaunter dengan kerugian ketara, Petronas Dagangan dan Fraser & Neave masing-masing turun 16 sen kepada RM20.94 dan RM29, Paragon susut 14 sen kepada RM4.77 manakala Pentamaster dan United Plantations masing-masing turun 12 sen kepada RM4.38 dan RM30.

Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas meningkat 2.27 mata kepada 12,938.52, Indeks FBM Top 100 menokok 0.91 mata kepada 12,775.11, Indeks FBM Emas Shariah menambah 8.05 mata kepada 12,876.10, Indeks FBM Mid 70 susut 35.98 mata kepada 18,512.82 dan Indeks FBM ACE naik 7.23 mata kepada 4,759.42.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 3.79 mata kepada 20,298.26 dan Indeks Tenaga susut 5.11 mata kepada 800.83.

Indeks Perladangan pula susut 20.88 mata kepada 8,698.37 manakala Industrial Products and Services Index meningkat 0.91 mata kepada 200.64.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan