TEMERLOH, 13 Mei (Bernama) -- Penamaan calon bagi Pilihan Raya Parlimen Belia telah ditetapkan pada 8 Ogos untuk memberi peluang kepada mereka yang dipilih mengikuti persidangan Dewan Rakyat yang bersambung pada Oktober depan.
Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul berkata inisiatif itu antara lain bagi memberi pendedahan awal kepada generasi pelapis berkenaan institusi Parlimen.
“Ini adalah usaha untuk memperkukuh masa depan negara dengan memberi peluang kepada anak muda memahami fungsi dan peranan Parlimen sejak awal lagi,” katanya kepada pemberita selepas sesi libat urus bersama petugas Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), di sini, hari ini.
Johari berkata setakat ini sebanyak 12 parti telah mendaftar bagi pilihan raya berkenaan melibatkan pelajar universiti.
"Pendaftaran parti masih lagi dibuka untuk mana-mana belia berumur 18 hingga 30 tahun yang bukan mahasiswa untuk menubuhkan parti masing-masing," katanya.
Mengenai pemilih, beliau berkata pengundi Parlimen Belia tidak diterima secara automatik malah perlu mendaftar menerusi saluran yang disediakan dengan 300,000 individu disasarkan untuk mengundi.
Katanya, selain promosi melalui media sosial, beliau sendiri akan turun menjelajah ke seluruh Malaysia untuk menarik minat selain memberikan pendedahan secara bersemuka kepada golongan muda.
Mengenai program hari ini, Johari berkata ia merupakan antara usaha untuk memberi gambaran serta kefahaman mengenai pelaksanaan dan peranan Parlimen Belia dalam melahirkan generasi muda yang celik demokrasi dan kepimpinan kepada penduduk setempat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial