BERITA TERGEMPAR   Over RM15 billion in financing support provided to micro, small and medium enterprises this year - MoF | 
 AM

Pulau Pinang Perkukuh Sumber Dalaman, Hasil Negeri Tanpa Bebankan Rakyat -- Chow

14/05/2026 11:53 AM

GEORGE TOWN, 14 Mei (Bernama) -- Pulau Pinang sedang memfokuskan kepada pengukuhan sumber dalaman dan peningkatan kecekapan pengurusan kewangan bagi memastikan hasil negeri terus diperkukuh tanpa membebankan rakyat, terutama ketika kos sara hidup semakin meningkat.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata langkah strategik diambil termasuk meningkatkan kecekapan kutipan hasil sedia ada melalui penambahbaikan sistem kutipan dan penguatkuasaan terhadap tunggakan.

Selain itu, pihaknya turut mengoptimumkan penggunaan aset milik kerajaan negeri melalui pendekatan pelupusan, penyewaan dan pembangunan semula aset tidak produktif bagi menjana pulangan lebih tinggi.

“Kita juga memperkasa sektor ekonomi bernilai tambah melalui galakan pelaburan strategik, khususnya dalam sektor pembuatan berteknologi tinggi, perkhidmatan moden serta pelancongan.

“Kerajaan negeri juga mempelbagaikan sumber hasil negeri secara berhemah tanpa melibatkan kenaikan cukai atau caj perkhidmatan secara mendadak,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang di sini, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Phee Syen Tze (PH-Sungai Puyu) mengenai langkah strategik diambil kerajaan negeri untuk meningkatkan hasil negeri tanpa membebankan rakyat.

Mengulas lanjut, Chow berkata kerajaan negeri juga memperkukuh tadbir urus fiskal melalui pelaksanaan pendekatan seperti belanjawan berasaskan sifar (ZBB), perbelanjaan berimpak tinggi, pemantauan prestasi kewangan secara bersepadu serta pengukuhan aspek ketelusan dan akauntabiliti melalui audit dan pelaporan berkala.

Pendekatan itu, katanya, bukan sahaja bertujuan meningkatkan hasil negeri dalam jangka pendek tetapi membina asas kewangan yang lebih berdaya tahan, inklusif dan mampan dalam jangka panjang.

Chow berkata selain itu, agensi seperti Perbadanan Ketua Menteri Pulau Pinang (CMI) turut berperanan secara lebih langsung dalam penjanaan hasil melalui pengurusan dan pengoptimuman aset negeri.

“Ini termasuk kutipan sewaan, pulangan pajakan serta pelaksanaan kaedah 'Request for Proposal' (permintaan untuk cadangan) bagi memaksimumkan nilai aset strategik negeri secara kompetitif dan telus.

“Hasil daripada pendekatan ini, CMI telah menyumbang hasil berjumlah RM6.41 juta kepada kerajaan negeri pada 2024 dan (seterusnya) meningkat kepada RM54.2 juta pada 2025 yang mencerminkan keberkesanan pelaksanaan strategi pengurusan aset,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan