AM

28 Makanan Tradisional Pulau Pinang Diwarta Sebagai Warisan Kebudayaan Tidak Ketara

11/05/2026 12:21 PM

GEORGE TOWN, 11 Mei (Bernama) -- Sebanyak 28 makanan tradisional Pulau Pinang diwartakan sebagai warisan kebudayaan tidak ketara di bawah Enakmen Warisan Negeri Pulau Pinang 2011 pada tahun ini dalam usaha memelihara identiti dan warisan kulinari negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri Wong Hon Wai berkata pewartaan itu melibatkan pelbagai makanan ikonik negeri berkenaan termasuk nasi kandar, asam laksa, char kuetiau, pasembor dan cendol.

"Antara makanan lain yang diwartakan ialah mi Hokkien, mi sotong, mi Jawa, mi udang, roti Benggali, oh chien, kerabu bihun, mi goreng mamak, putu mayam, muruku, tose dan teh tarik,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Wong Yuee Harng (PH-Pengkalan Kota) mengenai pencapaian Pulau Pinang dalam usaha mendapatkan pengiktirafan warisan tidak ketara di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.

Wong berkata semua item warisan kebudayaan tidak ketara yang diwartakan di peringkat negeri boleh disyorkan untuk pewartaan di peringkat kebangsaan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 sebelum dipertimbangkan bagi pengiktirafan antarabangsa oleh UNESCO.

Selain makanan tradisional, beliau berkata tujuh item warisan seni budaya dan kepercayaan turut diwartakan termasuk Budaya Nasi Kandar, Budaya Kopitiam, Perarakan Chingay, Perayaan Thaipusam dan Bahasa Loghat Tanjong.

Beliau berkata kerajaan negeri juga terus memperkukuh usaha pemuliharaan warisan tidak ketara menerusi pelbagai program dan festival di peringkat tempatan serta antarabangsa.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan