DUNIA

Rubio Sifatkan Hubungan AS-China Paling Penting Untuk Diurus

14/05/2026 10:59 AM

WASHINGTON, 14 Mei (Bernama-Anadolu) -- Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Marco Rubio menyifatkan China sebagai cabaran geopolitik utama AS serta hubungan paling penting untuk diuruskan Washington, lapor Anadolu Ajansi memetik Fox News.

“Ia merupakan cabaran politik utama kami dari segi geopolitik, dan pada masa sama hubungan paling penting untuk kami uruskan,” kata Rubio dalam wawancara dengan Fox News yang disiarkan pada Rabu tetapi dirakam lebih awal minggu ini, ketika mengiringi Presiden AS Donald Trump ke China bagi lawatan empat hari.

“China ialah sebuah negara besar dan berkuasa. Ia akan terus berkembang, namun kepentingan kami akan ada yang bercanggah dengan kepentingan mereka.

“Bagi mengelakkan peperangan serta mengekalkan keamanan dan kestabilan dunia, kami perlu menguruskan perkara itu,” kata beliau.

Rubio berkata mungkin terdapat beberapa bidang kerjasama antara kedua-dua negara, dan AS ingin memastikan peluang itu tidak diketepikan.

Kenyataan Rubio dibuat ketika beliau menaiki Air Force One dalam perjalanan ke Beijing bersama Trump, walaupun masih dikenakan sekatan oleh China, menerusi penyelesaian diplomatik yang dilihat bergantung kepada tindakan Beijing mengubah ejaan namanya dalam bahasa China.

Trump dan Presiden China Xi Jinping dijadual mengadakan sidang kemuncak dua hari pada Khamis dan Jumaat, manakala lawatan empat hari itu turut dijangka berlangsung hingga Jumaat.

Lawatan Trump pada awalnya dirancang pada April tetapi ditangguhkan susulan perang AS-Israel terhadap Iran.

IRAN, HORMUZ DAN CHINA

Mengenai ketegangan dengan Tehran berhubung penutupan Selat Hormuz ketika perang AS-Israel terhadap Iran, Rubio berkata: “Adalah menjadi kepentingan China untuk menyelesaikan perkara ini.”

“Kami berharap dapat meyakinkan mereka supaya memainkan peranan lebih aktif dalam mendapatkan Iran menghentikan tindakannya sekarang di Teluk Parsi,” katanya.

Rubio menggariskan tiga sebab krisis Hormuz bertentangan dengan kepentingan China sendiri.

Beliau berkata kapal China sudah menjadi sasaran di Teluk selepas sebuah kapal kargo milik China diserang pada hujung minggu.

Asia juga lebih terdedah berbanding rantau lain kerana kebergantungan tenaga yang tinggi terhadap laluan selat itu, katanya.

Selain itu, ekonomi China yang dipacu eksport akan turut menerima kesan langsung apabila ekonomi global lemah dan permintaan terhadap barangan China merosot, kata beliau.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan