SEPANG, 14 Mei (Bernama) -- Seorang anggota polis meninggal dunia dipercayai selepas menjalani aktiviti berkawad di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang, di sini semalam.
Koperal Khairil Idzhar Rodzi, 36, yang bertugas di Balai Polis Dato’ Abu Bakar Baginda disahkan meninggal dunia di IPD berkenaan, namun punca kematian belum disahkan.
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar bersama Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Selangor Datin Rozana Kasbon menzahirkan ucapan takziah buat keluarga Allahyarham Khairil Idzhar.
“Allahyarham meninggal dunia pada usia 36 tahun dan telah berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia selama 17 tahun.
“Pemergian Allahyarham Kpl 171014 Khairil Idzhar merupakan satu kehilangan besar buat Warga Polis Kontinjen Selangor, salam takziah,” katanya menerusi kenyataan dalam Facebook rasmi Polis Selangor.
Media melaporkan Allahyarham rebah semasa menjalani aktiviti kawad dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) yang menjalankan pemeriksaan ke atas dirinya di IPD Sepang.
Sehingga kini, IPD Sepang belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung punca kematian anggota berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial