AM

Musyawarah Nasional Penting Dalam Era Politik Multipolar, Perbezaan Ideologi

08/05/2026 08:49 PM

Oleh Amanina Mohamad Yusof

PUTRAJAYA, 8 Mei (Bernama) -- Musyawarah Nasional perlu diinstitusikan secara formal bagi memastikan ia bukan sekadar program bermusim, tetapi sebagai badan yang praktikal, profesional dan bertanggungjawab menyatukan pelbagai parti politik tanpa mengorbankan ideologi masing-masing.

Pengerusi Teras Politik Musyawarah Nasional Profesor Dr Zainal Abidin Sanusi berkata situasi semasa politik yang bersifat multipolar tanpa dominasi satu parti menjadikan semua pihak perlu bersama-sama duduk berbincang demi agenda negara.

Beliau yang juga Pengarah Pusat Kesejahteraan untuk Kelestarian dan Kemanusiaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata walaupun perbezaan ideologi antara parti politik tidak dapat dielak, musyawarah yang diinstitusikan mampu menjadi platform untuk mencari titik persamaan.

"Saya berpandangan pendekatan yang diperlukan ialah menjadikan Musyawarah Nasional sebagai satu badan sama ada sebagai persatuan atau sebagainya, tapi ia perlu dan wajib memberi ruang perbincangan dan tindakan yang berterusan, bukan sekadar menjadi platform wacana.

“Dalam suasana politik yang pelbagai, kita tidak boleh bergantung kepada pendekatan lama yang bersifat bermusim. Perlu ada satu mekanisme tetap yang membolehkan dialog berterusan dan penyelarasan dasar,” katanya kepada Bernama.

Zainal Abidin berkata inisiatif berbentuk seminar, bengkel atau pertemuan berkala sebelum ini dilihat kurang berkesan kerana tidak mempunyai kesinambungan serta tidak diterjemahkan kepada tindakan dasar yang konkrit.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata penubuhan Musyawarah Nasional secara formal dan berfungsi secara sistematik dilihat kritikal bagi memastikan setiap pandangan dan cadangan dapat diangkat ke peringkat pelaksanaan.

Musyawarah Nasional pada pandangan beliau perlu melibatkan pelbagai pihak termasuk ahli politik dan akademik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sektor industri serta golongan muda bagi memastikan keseimbangan antara pandangan dasar dan realiti pelaksanaan.

“Gabungan antara pembuat dasar dan pakar pelbagai bidang penting supaya keputusan yang dihasilkan bukan sahaja praktikal malah berasaskan data dan keperluan semasa,” katanya.

Dalam pada itu, Zainal Abidin berkata Musyawarah Nasional disarankan tidak dilihat sebagai platform elit atau dipengaruhi mana-mana parti politik bagi mengekalkan kredibiliti dan kepercayaan masyarakat terhadapnya.

“Biar Musyawarah Nasional menjadi sesuatu yang mengakar umbi, mewakili semua  dan sesiapa sahaja, yang berminat untuk bersama-sama dan tidak sepatutnya dilihat sebagai kumpulan pemikir sebahagian sahaja sebaliknya ini sebuah kumpulan yang menggabungkan semua golongan,” katanya.

Ditanya keperluan ahli politik dilibatkan dalam Musyawarah Nasional, Zainal Abidin berkata ahli politik daripada pelbagai parti perlu ada namun menegaskan mereka bukan sebagai penentu tunggal dalam badan tersebut.

“Semua parti politik kena ada, tetapi bezanya ialah jika selama ini keputusan akhir selalunya ditentukan atau dikuasai orang politik dengan ahli akademik hanya memberikan pandangan, itu model lama.

“Model baharu ialah ahli akademik perlu terlibat secara langsung dalam membuat keputusan dan pelaksanaan,” katanya.

Zainal Abidin berkata Perlembagaan Persekutuan perlu dijadikan asas rujukan dalam memastikan setiap perbincangan kekal dalam landasan yang sah serta tidak menimbulkan salah faham antara kaum.

Pada masa sama, beliau berkata Musyawarah Nasional perlu berperanan sebagai platform yang bukan sahaja membincangkan isu tetapi turut memantau pelaksanaan dan memastikan akauntabiliti semua pihak terlibat.

“Kepercayaan rakyat hari ini banyak terhakis akibat terlalu banyak retorik tanpa hasil. Apa yang diperlukan ialah mekanisme yang mampu menterjemahkan idea kepada tindakan,” katanya.

Mengenai Musyawarah Nasional yang akan diadakan pada Ahad ini di Kuala Lumpur, Zainal Abidin berkata antara fokus yang akan dicadangkan oleh Teras Politik ialah pendidikan Perlembagaan kepada rakyat Malaysia.  

Musyawarah Nasional yang dicetuskan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjadi ruang muafakat strategik yang menghimpunkan tokoh masyarakat, ilmuwan, profesional, pemain industri dan wakil masyarakat sivil untuk meneliti isu teras yang membentuk hala tuju bangsa serta negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan