FOKUS BERNAMA

Bahagia Di Tempat Kerja Bantu Atasi Kelesuan Mental Pekerja

13/05/2026 02:31 PM
Daripada Soon Li Wei

Selepas bertahun-tahun bergelut dengan beban kerja yang kian bertambah dan keresahan berkait pekerjaan, bekas penulis kreatif dan eksekutif pemasaran Clarissa (bukan nama sebenar) kini menarik nafas lega selepas menghantar surat peletakan jawatan bulan lepas.

Wanita berusia 29 tahun ini berkata dia bertarung dengan kelesuan mental akibat tuntutan kerja melampau, yang secara beransur-ansur menjejaskan kesihatan mental dan kehidupan peribadinya.

Hampir setiap malam dalam tempoh dua tahun lalu, dia akan terjaga dari tidur secara tiba-tiba dan diselubungi kebimbangan berkenaan apa yang menunggunya di tempat kerja pada esok hari, terutama tekanan daripada bekas penyelianya.

Berkongsi kisahnya dengan Bernama, Clarissa berkata di peringkat awal, dia yang menyertai syarikat penerbitan itu pada 2022, berasa gembira dengan pekerjaannya dan cukup bersemangat untuk bekerja.

Bagaimanapun situasi itu berubah secara perlahan-lahan apabila beban kerjanya bertambah dengan ketara selepas syarikatnya melaksanakan dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) pada 2024. Menurutnya, akibat daripada BDR, ada kalanya dia terpaksa mengorbankan hari cuti untuk menyiapkan tugasan dan membalas pesanan daripada pejabat.

“Pada mulanya saya sangat gembira dengan kerja saya, terutamanya apabila saya dibenarkan BDR dua ke tiga hari seminggu. Namun, lama-kelamaan, lebih banyak tugas diberikan kepada saya kerana mereka kata saya cekap. Akhirnya, mereka mula memberikan saya tugasan yang tidak ada kaitan dengan skop kerja sebenar saya,” dedahnya.


Beban kerja yang terlalu banyak boleh menyebabkan kelesuan dan kehilangan motivasi untuk bekerja (Gambar Ihsan Sunway Medical Centre)

Keadaan semakin buruk apabila dia mendakwa turut dimarahi atas kesilapan kecil di samping perlu sentiasa “bersedia untuk bekerja” semasa cuti, menyebabkan dia mengalami kelesuan mental.

“Lama-kelamaan, saya hilang motivasi untuk bekerja,” ujarnya yang kini mencari peluang baharu dengan harapan bakal majikannya lebih mengutamakan kebajikan pekerja, khususnya dari segi keseimbangan antara pekerjaan dan kehidupan peribadi pekerja. 

Minah (bukan nama sebenar), 33, pula mendakwa dia mengalami penderaan psikologi oleh bekas majikan yang kerap memalukannya di depan rakan sekerja hanya kerana kesilapan kecil.

“Mungkin perkara ini dianggap biasa dalam budaya kerja Asia, tetapi (dimarahi secara terbuka) tidak bermakna kita harus terima kerana tindakan sedemikian tidak menyelesaikan masalah, sebaliknya cuma akan menjejaskan kesihatan mental pekerja dan membuatkan mereka tidak berasa gembira di tempat kerja,” kata bekas eksekutif sumber manusia ini kepada Bernama.

Dia yang kini gembira bekerja di tempat baharu yang membenarkannya BDR dan waktu kerja anjal, menegaskan hubungan baik antara rakan sekerja dan penyelia amat penting dalam mengekalkan kegembiraan di tempat kerja.  

 

KELESUAN MENTAL CABARAN DI TEMPAT KERJA

Data “Wellness at Work Report” untuk 2024 dan  2022 oleh Employment Hero menunjukkan 67 peratus responden melaporkan mereka mengalami kelesuan mental pada 2024 berbanding 58 peratus pada 2022.

Indeks Kegembiraan di Tempat Kerja 2026 oleh Jobstreet by SEEK pula merekodkan tujuh daripada 10 pekerja warga Malaysia berkata mereka gembira di tempat kerja walaupun stres dan kelesuan mental kekal menjadi kebimbangan yang berterusan.

Laporan itu yang berasaskan respons daripada kira-kira 1,000 individu berusia 18 hingga 64 tahun, merekodkan walaupun 68 peratus menyatakan pekerjaan mereka memberikan kepuasan, hanya 36 peratus berpuas hati dengan tahap tekanan yang mereka hadapi. Selain itu, 41 peratus responden melaporkan mereka mengalami keletihan melampau atau kelesuan.

Dapatan itu juga menunjukkan kegembiraan di tempat kerja selalunya dipacu oleh perkara-perkara asas seperti persekitaran di tempat kerja, rakan sekerja dan tanggungjawab harian. Bagaimanapun, tiga daripada 10 pekerja menyatakan sama ada tidak gembira atau neutral berhubung kerja mereka.

Dalam kalangan yang tidak gembira, 71 peratus daripadanya berkata keseimbangan antara pekerjaan dan kehidupan peribadi yang lebih baik akan meningkatkan kesejahteraan mereka, menyusuli hasrat untuk gaji yang lebih tinggi. Keadaan ini menyerlahkan kesan tekanan yang tidak diurus dengan baik terhadap produktiviti serta hasil jangka panjang.


Kegembiraan di tempat kerja selalunya dipacu oleh perkara-perkara asas seperti persekitaran di tempat kerja, rakan sekerja dan tanggungjawab harian

 

BERISIKO MENGHIDAPI PENYAKIT TIDAK BERJANGKIT 

Pengamal Perubatan Gaya Hidup Bertauliah yang juga Pegawai Perubatan Residen Sunway Medical Centre, Dr Wee Hui Yin, berkata penekanan pada produktiviti membawa kepada lebih ramai mengalami stres kronik dan kelesuan mental dengan risiko untuk menghidap penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes, penyakit jantung serta hipertensi meningkat.

Katanya, pemeriksaan perubatan selalunya gagal mengesan banyak masalah kesihatan yang disebabkan oleh stres, namun tanda-tanda stres muncul semasa sesi perundingan perubatan serta penilaian sejarah perubatan.  

“Ramai (pegawai perubatan) tidak menyebut kelesuan mental, tetapi menyatakan keletihan, mudah marah, masalah tidur serta kurang toleransi di tempat kerja dan juga rumah.

“Terdapat dua jenis masalah kesihatan yang berlaku apabila stres berterusan. Pertama ialah masalah fisiologi, iaitu pendedahan berpanjangan kepada hormon tekanan seperti kortisol boleh menyebabkan peningkatan paras gula dalam darah, kolesterol jahat yang lebih tinggi, pengumpulan lemak viseral yang berlebihan serta tekanan darah meningkat,” katanya.


Pengamal Perubatan Gaya Hidup Bertauliah yang juga Pegawai Perubatan Residen Sunway Medical Centre, Dr Wee Hui Yin (Gambar Ihsan Sunway Medical Centre)

Beliau berkata pesakit juga boleh mengalami tekanan psikologi seperti kemurungan, kebimbangan, gangguan tidur dan tabiat pengambilan alkohol yang berbahaya, yang akhirnya menimbulkan ancaman kesihatan tambahan.

“Perubahan ini meningkatkan risiko diabetes, tekanan darah tinggi dan penyakit jantung secara ketara. Tekanan juga menyebabkan keradangan serta pengerasan arteri, yang dapat menjelaskan mengapa sesetengah individu mengalami masalah jantung walaupun tanpa faktor risiko yang jelas,” katanya.

Dr Wee berkata program saringan kesihatan syarikat juga tidak akan memberikan hasil yang bermakna sekiranya hanya tertumpu pada ujian tahunan tanpa perubatan susulan dan intervensi gaya hidup yang sewajarnya selepas saringan dijalankan.

 “Rutin penjagaan kesihatan pencegahan memerlukan pemantauan berkala terhadap tekanan darah, paras glukosa dan kolesterol, indeks jisim badan (BMI), ukur lilit pinggang, fungsi buah pinggang, tahap tekanan dan kualiti tidur. Keputusan ujian sepatutnya dijadikan panduan untuk penyesuaian gaya hidup dan rawatan susulan, bukannya pemeriksaan diagnostik semata-mata,” tegasnya.

 

PENDEKATAN HOLISTIK  

Untuk memastikan pekerja lebih gembira di tempat kerja sekali gus mengurangkan risiko kelesuan mental akibat persekitaran kerja, majikan disaran mengambil pengambil pendekatan lebih menyeluruh termasuk menyediakan waktu kerja lebih anjal.

Tsubasa Nakazawa, pengarah urusan bagi Asia Tenggara Kintone, iaitu platform aplikasi perniagaan berasaskan awan, berkata organisasi yang menetapkan tanggungjawab dengan jelas, memastikan ketelusan dalam pemantauan projek serta menyediakan dokumentasi yang teratur lazimnya mampu mewujudkan persekitaran kerja fleksibel yang lebih stabil dan produktif.

“Apabila pasukan mempunyai keterlihatan bersama ke atas projek dan setiap keputusan didokumentasikan dengan baik, pekerja tidak perlu menghabiskan terlalu banyak tenaga untuk membuktikan mereka sedang bekerja. Sebaliknya, mereka dapat menumpukan lebih tenaga untuk menggerakkan kerja ke depan,” katanya.


Tsubasa Nakazawa (Gambar Ihsan Kintone)

Nakazawa menjelaskan fleksibiliti yang diberikan kepada pekerja tidak seharusnya dilihat semata-mata dari aspek lokasi atau waktu bekerja, sebaliknya melalui keupayaan organisasi mewujudkan struktur dan proses yang jelas bagi membolehkan pekerja melaksanakan tugas secara berkesan tanpa bergantung pada pemantauan fizikal secara berterusan.

Tambah beliau, masa di pejabat juga perlu dimanfaatkan dengan lebih bermakna dalam aturan kerja fleksibel, dengan memberi tumpuan kepada bimbingan, kerjasama dan penyelesaian masalah, bukannya sekadar menjadi lokasi utama untuk semua tugasan.

“Di tempat kerja yang mengamalkan fleksibiliti secara lancar, setiap individu memahami tanggungjawab mereka, bagaimana keputusan dibuat, di mana maklumat disimpan dan bagaimana kerjasama dilaksanakan.

“Ketua yang berjaya melaksanakannya ialah mereka yang mampu mewujudkan struktur, kejelasan dan kepercayaan supaya fleksibiliti dapat menyokong prestasi, bukannya menjejaskannya,” kata beliau.

Sementara itu, Pengarah Urusan Jobstreet Nicholas Lam berkata bagi memperkukuh kesejahteraan pekerja, majikan perlu menghubungkan dengan jelas tanggungjawab harian pekerja dengan misi dan nilai lebih besar organisasi supaya mereka dapat melihat bagaimana pekerjaan yang dilakukan memberi impak yang bermakna.

“Majikan perlu mewujudkan persekitaran kerja yang membantu mengurangkan tekanan dan kelesuan mental, di samping memastikan pekerja berasa dihargai, bermotivasi dan disokong untuk memberikan prestasi terbaik,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama.

Tambah beliau, apabila majikan melabur dalam peranan kerja yang berteraskan tujuan, budaya kerja yang menyokong serta mendengar pelbagai keperluan tenaga kerja mereka, kesannya dapat dilihat secara nyata menerusi peningkatan penglibatan pekerja, produktiviti dan kadar pengekalan pekerja.


Komunikasi berkesan antara majikan dan staff amat penting bagi memastikan produktiviti dapat dicapai serta mewujudkan persekitaran yang bermotivasi tinggi

 

 KEMUDAHAN DAN PERSEKITARAN KERJA SIHAT 

Persekitaran kerja yang sihat dapat membantu mengurangkan stres dan kelesuan mental, dan menurut Lee Sheah Liang, ketua pegawai eksekutif Infinity8, iaitu penyedia ruang kerja bersama, pekerja hari ini mencari fleksibiliti dan ruang untuk “bernafas” berbanding kerja berstruktur 9 pagi hingga 5 petang.

Katanya majikan sewajarnya menyediakan ruang untuk kakitangan mereka bekerja tanpa kekangan waktu pejabat selain akses kepada kemudahan yang dapat membantu mereka mengurangkan tekanan akibat beban kerja. 

“Misalnya, majikan boleh sediakan kemudahan ‘pod’ untuk tidur sekejap, gimnasium mini serta bilik bersantai termasuk untuk mereka bermain permainan video atau menonton filem seperti yang ditawarkan oleh penyedia ruang kerja bersama seperti kami,” katanya dalam temu bual dengan Bernama.


Ketua pegawai eksekutif Infinity8, Lee Sheah Liang

Berpendapat majikan memainkan peranan penting dalam membantu menangani kelesuan mental pekerja, Dr Wee daripada Sunway Medical Centre berkata: “Bekerja melebihi waktu pejabat tidak bermakna seseorang itu lebih produktif.

“Sebaliknya, jika majikan menawarkan sokongan praktikal seperti penjagaan anak dan menetapkan sempadan kerja yang jelas dengan sokongan penjagaan kendiri serta kepimpinan yang sihat, dapat membantu mengurangkan stres dan kelesuan mental pekerja, khususnya bagi kelompok yang turut berperanan sebagai penjaga keluarga.

“Kakitangan yang sihat lebih produktif. Justeru, dapatkan bantuan tepat pada masanya,” kata beliau.


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan