AM

ADI Angkat Industri Jadi Rakan Strategik Bagi Menoktahkan Isu Ketidakpadanan Kemahiran

13/05/2026 05:38 PM

MELAKA, 13 Mei (Bernama) -- Keluhan pihak industri berhubung isu ketidakpadanan kemahiran yang sebelum ini dilihat seolah tidak berpenghujung kini menemui titik noktah menerusi inisiatif Akademi Dalam Industri (ADI). 

Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran Wilayah Selatan (JPKWSN) Nor Asmah Daud berkata lebih utama, adaptasi model pembelajaran berasaskan tempat kerja secara langsung mentransformasikan peranan syarikat daripada pengguna tenaga kerja kepada rakan strategik dalam melahirkan bakat bertepatan kehendak pasaran.

Beliau berkata inisiatif itu semakin membuahkan hasil terutama berjaya membuka jalan kepada penutupan jurang ketidakpadanan kemahiran yang dilakukan secara masa nyata dengan ADI bukan sekadar penjenamaan semula Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN), tetapi suatu transformasi ekosistem latihan kemahiran.

“ADI memberi ruang lebih besar kepada syarikat untuk membentuk kandungan latihan, persekitaran pembelajaran dan kompetensi pelajar mengikut keperluan sebenar operasi industri," katanya kepada Bernama. 

Nor Asmah berkata pendekatan tersebut telah menghasilkan tenaga kerja yang bersedia memasuki alam pekerjaan kerana pelajar didedahkan dengan teknologi semasa, budaya kerja sebenar dan paling utama pematuhan standard operasi sejak hari pertama, sekali gus mengurangkan situasi kejutan budaya. 

-- LAGI

 

JPK-TRANSFORMASI ADI 2 MELAKA 

 

Beliau berkata program bermodelkan latihan anjal berkenaan turut mempunyai peranan serampang dua mata dalam menangani pengangguran belia dan kekangan kewangan.

"Antara keistimewaan ADI Perantisan yang ibu bapa sering terlepas pandang adalah peserta bukan sahaja menerima latihan secara percuma tetapi berserta tajaan elaun kerajaan sebanyak RM1,000 setiap bulan di bawah program berinsentif berdasarkan sektor terpilih. 

"Setiap peserta yang tamat latihan pula akan dianugerahkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), sekali gus meningkatkan nilai kebolehpasaran serta membuka lebih banyak peluang perkembangan dan mobiliti kerjaya," katanya. 

Mengenai keberkesanan program itu, Nor Asmah berkata sepanjang 2025, hampir 9,000 perantis dan 2,000 bakat sedia ada telah mendaftar di bawah inisiatif berkenaan dengan penglibatan lebih 1,500 syarikat merentas pelbagai sektor utama di seluruh negara.

"Untuk memperkasakan lagi program ini, kami meletakkan sasaran 10,000 penyertaan setiap tahun bagi tempoh tiga hingga lima tahun akan datang dalam usaha meletakkan ADI sebagai model Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) arus perdana yang benar-benar dipacu industri. 

"Fokus JPK kini bukan hanya pada sekadar jumlah penyertaan, sebaliknya nilai kebolehpasaran tinggi dan perluasan ke sektor berimpak tinggi termasuk semikonduktor, automotif kenderaan elektrik (EV), kecerdasan buatan (AI), aeroangkasa dan teknologi hijau," katanya. 

Sementara itu, Ketua Jabatan Latihan Muhlbauer Automation Sdn Bhd Borhan Yusoff berkata pendekatan serapan awal banyak memberi impak positif kerana pelajar terus didedahkan dengan persekitaran kerja sebenar dan ini mengelakkan masalah kejutan budaya yang sering dialami pekerja baharu. 

Katanya kaedah ini secara langsung menjimatkan masa orientasi dan kos syarikat kerana pelajar sudah faham selok-belok tugasan dan budaya tempat kerja malah keberhasilan program tersebut dapat dilihat apabila 22 lulusan program tersebut kini berkhidmat di pelbagai negara maju di bawah Muhlbauer Group. 

"Sejak syarikat terlibat dalam inisiatif ini pada 2016, kita berjaya menghasilkan 93 perantis berkemahiran tinggi dan pencapaian ini telah mengangkat status graduan tempatan yang diiktiraf di pentas global di samping membuktikan keupayaan Malaysia sebagai pembekal tenaga mahir bertaraf antarabangsa," katanya yang menjelaskan struktur pelaksanaan ADI di Muhlbauer Automation direka khusus bagi bidang mekatronik.

Menyasar golongan belia seawal usia lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau sekurang-kurangnya berumur 18 tahun, Borhan berkata program di syarikat tersebut menetapkan 70 hingga 80 peratus pembelajaran difokuskan kepada latihan praktikal di lapangan kilang, manakala selebihnya melibatkan kelas teori yang diajar di pusat latihan luaran seperti Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC). 

"Syarikat akan menawarkan tajaan pendidikan penuh sepanjang tempoh tiga tahun setengah program berlangsung. Lebih istimewa, para perantis bukan sahaja mendapat penginapan asrama secara percuma malah dibayar elaun latihan bulanan lumayan yang kini mencecah RM1,700 sejak awal kemasukan mereka.

“Bagi menjamin kualiti kemahiran setiap perantis yang menjalani penggiliran jadual secara berterusan iaitu dua bulan kelas teori diikuti empat bulan latihan praktikal di MB Automation, pelajar akan sentiasa dipantau secara rapat oleh seorang jurulatih industri atau 'mentor' di setiap jabatan syarikat," katanya. 

Beliau berkata pelaburan besar ini dilihat amat relevan bagi mengatasi masalah kekurangan pekerja mahir kerana menerusi bimbingan terus daripada pihak industri, pelajar dapat mengikuti corak pertukaran teknologi secara langsung, daripada mesin lama sehinggalah kepada penggunaan teknologi mesin terbaharu," katanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan