SEMPORNA, 13 Mei (Bernama) -- Seorang bayi lelaki berusia dua bulan ditemukan orang awam dalam keadaan dibaluti kain selepas ditinggalkan di laluan pejalan kaki di hadapan sebuah rumah kosong di Kampung Panji, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Semporna Superintendan Tan Hiap Wah berkata bayi lelaki seberat tiga kilogram itu ditemukan kira-kira 7 pagi sebelum dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut, dan disahkan berada dalam keadaan sihat.
“Bayi itu masih berada di bawah pemantauan pihak hospital sebelum diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Susulan itu, beliau berkata seorang wanita warga asing berumur 28 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes terbabit mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana meninggalkan kanak-kanak berumur bawah 12 tahun dengan niat membuangnya.
“Hukuman penjara hingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan sekiranya didapati bersalah,” katanya.
Tan berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung perkara itu diminta menghubungi pegawai penyiasat Inspektor J. Munnesh melalui talian 012-9922566 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial