KANGAR, 12 Mei (Bernama) -- Jabatan Imigresen (JIM) Perlis menahan seorang lelaki yang disyaki bertindak sebagai transporter pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam operasi khas di sekitar Arau Ahad lepas.
Pengarah Imigresen Perlis Mohammad A'sim Md Ali berkata lelaki berusia 43 tahun itu ditahan kira-kira 4 pagi selepas sepasukan pegawai daripada Bahagian Perisikan dan Operasi Khas JIM Perlis mengekori sebuah Perodua Alza yang berada dalam keadaan mencurigakan.
Beliau berkata selepas disoal siasat, JIM berjaya menahan tiga warga Myanmar termasuk seorang wanita, yang kesemuanya berumur antara 30 hingga 43 tahun di sebuah premis dobi layan diri di sekitar Arau.
“Lelaki ini dipercayai berperanan sebagai transporter yang membawa migran keluar masuk Malaysia melalui laluan tikus di kawasan sempadan.
“Kita telah membuat risikan terhadap suspek hampir tiga bulan dan modus operandi yang digunakan dipercayai sering berubah,” katanya pada sesi bersama media bagi menyampaikan taklimat terkini statistik operasi dan penguatkuasaan oleh JIM Perlis, di sini, hari ini.
Mohammad A’sim berkata kesemua individu itu kini ditahan untuk disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63.
“Kes ini dianggap agak serius dan mempunyai kesinambungan kerana kita mengesyaki terdapat beberapa lagi ejen yang terlibat, bukan sahaja di Perlis tetapi mungkin di negeri lain termasuk Pulau Pinang dan Selangor. Perlis dipercayai hanya menjadi laluan transit,” katanya.
Sementara itu, katanya, JIM Perlis telah melaksanakan 166 operasi penguatkuasaan bagi tempoh 1 Jan hingga 11 Mei lepas yang melibatkan pemeriksaan terhadap 1,930 individu.
Beliau berkata daripada jumlah itu, seramai 130 pendatang tanpa izin ditahan membabitkan 115 lelaki dan 15 wanita, selain 14 majikan turut dikenakan tindakan.
Mohammad A'sim berkata berdasarkan pemantauan, kawasan ladang di Chuping dekat Padang Besar dikenal pasti sebagai antara ‘kawasan panas’ kegiatan penyeludupan migran kerana kawasan itu sukar dipantau secara menyeluruh terutama antara pukul 3 pagi hingga 5 pagi.
“Operasi penguatkuasaan akan terus dipertingkat khususnya di kawasan sempadan bagi mengekang aktiviti penyeludupan migran dan kemasukan pendatang asing tanpa izin ke negara ini,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial