MELAKA, 8 Mei (Bernama) -- Sebanyak enam Pengerusi Panel Penasihat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) dilantik di Melaka hari ini, dengan majlis penyampaian watikah disempurnakan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan memaklumkan pelantikan itu mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI melalui MCMC untuk memperkukuh peranan NADI sebagai hab komuniti setempat yang membantu merapatkan jurang digital, pengetahuan dan sosioekonomi serta menyampaikan manfaat program kerajaan secara lebih berkesan.
“Panel Penasihat berperanan memperkukuh penyertaan masyarakat, menjadi penghubung antara komuniti, pemimpin tempatan dan agensi berkaitan serta memastikan program dilaksanakan mengikut keperluan setempat,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu turut memaklumkan sebanyak 39 NADI beroperasi di Melaka dengan fokus kepada akses Internet, Program Perkhidmatan Pintar NADI dan penyampaian maklumat kerajaan.
Sebelum ini, pelaksanaan Panel Penasihat NADI turut melibatkan beberapa negeri lain, iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Pulau Pinang, Terengganu, Negeri Sembilan, Johor dan Sabah, dengan 114 pengerusi panel telah dilantik.
Peranan NADI diperkukuh apabila diiktiraf sebagai Pusat Transformasi Digital (DTC) oleh Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) pada 25 April lepas, sekali gus membuktikan usaha yang dilaksanakan dalam komuniti memberi impak besar sehingga mendapat pengiktirafan di peringkat global.
Pada majlis sama, Fahmi turut merasmikan NADI Taman Seri Telok Mas dan menyerahkan 25 peranti elektronik kepada pemandu p-hailing bagi menyokong penggunaan teknologi digital untuk pekerjaan dan penjanaan pendapatan.
Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Adam Adli Abd Halim, Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi Nik Kamaruzaman Nik Husin, Pengarah Urusan MCMC Abdul Karim Fakir Ali dan Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial