AM

MyKad Versi Baharu Dilengkapi 53 Ciri Keselamatan

07/05/2026 10:38 PM

PUTRAJAYA, 7 Mei (Bernama) -- MyKad baharu yang dijangka mula diperkenalkan bulan depan akan dilengkapi dengan 53 ciri keselamatan berbanding 23 ciri pada MyKad sedia ada.

Ketua Pengarah Pendaftaran Negara Datuk Badrul Hisham Alias berkata antara ciri keselamatan baharu yang diperkenalkan ialah turihan laser, ultraungu, hologram, guilloche, teks mikro, kod respons pantas (QR) bagi tujuan penguatkuasaan dan cip dengan tahap enkripsi yang dipertingkatkan.

"Yang pastinya ia mempunyai ciri-ciri keselamatan yang lebih baik daripada apa yang ada sekarang. 

"Pelancaran akan diumumkan oleh Kementerian Dalam Negeri apabila tiba masanya dan di peringkat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), kita telah bersedia untuk tujuan tersebut," katanya kepada media selepas Majlis Temu Mesra Pengurusan JPN Bersama Media di sini hari ini.

Beliau berkata pelaksanaan MyKad baharu itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkasakan keselamatan identiti rakyat selaras dengan perkembangan teknologi dan cabaran keselamatan semasa.

Badrul Hisham berkata selain MyKad, MyPoCA dan MyTentera turut akan menampilkan versi baharu bulan depan.

Menurut beliau, MyKad baharu itu tidak akan dilengkapi dengan elemen Touch 'N Go.

Sementara itu, Badrul Hisham berkata majlis hari ini diadakan bermatlamat untuk mengeratkan hubungan JPN dengan petugas media.

"Pada masa yang sama, JPN juga merakamkan jutaan terima kasih kepada rakan media yang bersama-sama dengan JPN dalam menyampaikan maklumat sahih kepada rakyat," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan