AM

mySUWa Permudah Permohonan Pendaftaran Kelahiran Di Luar Negara

05/05/2026 12:37 AM

PUTRAJAYA, 4 Mei (Bernama) -- Sistem Pengurusan Warganegara Malaysia (mySUWa) yang dilancarkan hari ini dijangka memberi manfaat besar, khususnya kepada rakyat Malaysia di luar negara dengan mengurangkan keperluan kehadiran fizikal ke kaunter dan memudahkan urusan melalui Pejabat Konsulat Persekutuan.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi kenyataan memaklumkan sistem itu membantu mempercepat aliran kerja Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) melalui automasi proses, integrasi data antara agensi dan kawalan keselamatan maklumat yang lebih kukuh, sekali gus meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kewarganegaraan secara menyeluruh.

“Sistem mySUWa merupakan inisiatif pendigitalan strategik yang dibangunkan selaras dengan pindaan Bahagian III Perlembagaan Persekutuan bagi memperkemas pengurusan permohonan kewarganegaraan secara lebih pantas, cekap dan bersepadu. 

“Dibangunkan sepenuhnya secara dalaman oleh pasukan teknologi maklumat JPN, sistem ini menyediakan platform mesra pengguna yang membolehkan permohonan dilakukan secara dalam talian sepenuhnya termasuk pemuatan naik dokumen digital, semakan status secara masa nyata dan notifikasi automatik kepada pemohon,” menurut kenyataan itu.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail melancarkan sistem mySUWa pada Majlis Perhimpunan Bulanan KDN hari ini.

Selain pelancaran mySUWa, JPN turut mengumumkan beberapa inisiatif penting termasuk penstrukturan semula perjawatan Ibu Pejabat JPN yang diluluskan Jabatan Perkhidmatan Awam berkuat kuasa 29 Okt 2025 dan pengenalan kad kuasa baharu dengan ciri keselamatan berlapis bagi memperkukuh integriti penguatkuasaan.

Sebagai langkah memperkukuh perancangan jangka panjang, KDN memaklumkan JPN telah merangka Pelan Strategik JPN 2026-2030 sebagai dokumen hala tuju utama bagi tempoh lima tahun akan datang yang akan memandu pelaksanaan agenda transformasi organisasi secara lebih progresif dan berimpak tinggi, selaras dengan aspirasi kerajaan untuk memastikan JPN kekal tangkas, berdaya saing serta responsif terhadap perubahan landskap pentadbiran awam dan keperluan rakyat.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan