DUNIA

Bursa Malaysia Ditutup Tinggi Sedikit Selepas BNM Kekalkan OPR Pada Paras Semasa

07/05/2026 07:07 PM

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup tinggi sedikit pada Khamis, dipacu oleh pembelian berterusan ke atas saham perbankan wajaran tinggi selepas Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 2.75 peratus.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 1.98 mata atau 0.11 peratus kepada 1,758.85 daripada 1,756.87 ketika ditutup semalam.

Indeks penanda aras itu dibuka 5.94 mata lebih tinggi kepada 1,762.81 sebelum bergerak antara 1,758.42 hingga 1,768.46 sepanjang dagangan hari ini.

Lingkungan pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 660 berbanding 583, manakala 593 kaunter tidak berubah, 815 kaunter tidak diniagakan dan sembilan yang digantung.

Jumlah dagangan turun kepada 3.78 bilion unit bernilai RM4.24 bilion daripada 3.98 bilion unit bernilai RM3.97 bilion semalam.

Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi, IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata keputusan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM mengekalkan OPR pada paras semasa telah memberikan petunjuk keyakinan terhadap daya tahan permintaan domestik.

Beliau berkata pada masa sama, bank pusat turut mengakui peningkatan risiko penurunan ekoran kejutan luaran terutama ketegangan geopolitik dan turun naik ketara harga komoditi.

“Pendirian dasar itu secara efektif mengesahkan kedudukan semasa pasaran, dengan keutamaan terhadap aliran pendapatan yang terlindung susulan persekitaran global yang tidak menentu,” katanya kepada Bernama.

Dalam kenyataan hari ini, MPC BNM berpendapat, pada paras OPR semasa, pendirian dasar monetari adalah wajar dan konsisten dengan prospek kestabilan harga yang berterusan serta pertumbuhan ekonomi yang mampan.

Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti, Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata kenaikan FBM KLCI yang dicatatkan ketika sesi awal telah diredakan berikutan pengambilan untung pada minit-minit terakhir dagangan, namun kekal bertahan dan ditutup dalam wilayah positif.

“Kalangan indeks utama serantau mencatatkan aliran tinggi apabila keyakinan yang semakin teguh terhadap potensi perjanjian damai antara Amerika Syarikat dan Iran telah menambah baik sentimen di seluruh pasaran yang didorong risiko.

“Bursa serantau turut mengambil petunjuk daripada prestasi kukuh semalaman Wall Street, didorong terutama oleh kenaikan yang direkodkan saham teknologi dan yang berkaitan cip,” katanya.

Antara saham wajaran tinggi, Maybank naik empat sen kepada RM11.26, Public Bank menambah 10 sen kepada RM4.89, CIMB Group meningkat 11 sen kepada RM8.04, Hong Leong Bank melonjak 48 sen kepada RM22.60, Tenaga Nasional kekal pada RM14.80 dan IHH Healthcare menokok tiga sen kepada RM8.88.

Kalangan saham paling aktif, Zetrix AI susut setengah sen kepada 86.5 sen, Pegasus Heights tidak berubah pada setengah sen, AirAsia X meningkat lima sen kepada RM1.30, Capital A naik satu sen kepada 44.5 sen dan SMRT Holdings menambah dua sen kepada 22 sen.

Antara kaunter paling untung, Nestle melonjak RM3.20 kepada RM104.10, Fraser & Neave meningkat 92 sen kepada RM30.02, Allianz Malaysia naik 62 sen kepada RM21.42, UMS Integration menokok 54 sen kepada RM7.37 dan Malayan Cement menambah 47 sen kepada RM7.14.

Antara kaunter paling rugi pula, Petronas Chemicals susut 59 sen kepada RM5.28, MISC turun 31 sen kepada RM8.37, Gas Malaysia menguncup 20 sen kepada RM5.30, Malaysian Pacific Industries kurang 18 sen kepada RM41.22 dan Bintulu Port turun 15 sen kepada RM5.50.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 17.24 mata kepada 12,980.73, Indeks FBMT 100 menokok 19.35 mata kepada 12,826.74, Indeks FBM Emas Syariah Index susut 62.14 mata kepada 12,863.13, Indeks FBM Mid 70 menambah 48.75 mata kepada 18,457.09 dan Indeks FBM ACE menambah 3.74 mata kepada 4,665.74.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 237.21 mata kepada 20,473.43, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 3.10 mata kepada 194.42, Indeks Tenaga susut 19.93 mata kepada 811.86 dan Indeks Perladangan kurang 30.20 mata kepada 8,937.77.

Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 2.11 bilion unit bernilai RM3.92 bilion daripada 2.28 bilion unit bernilai RM3.64 bilion pada Rabu.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 1.24 bilion unit bernilai RM172.75 juta daripada 1.21 bilion unit bernilai RM166.34 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE sebanyak 419.93 juta unit bernilai RM147.55 juta berbanding 497.99 juta unit bernilai RM166.82 juta semalam.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 295.23 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, diikuti produk dan perkhidmatan perindustrian (343.55 juta), pembinaan (178.33 juta), teknologi (344.20 juta), perkhidmatan kewangan (145.18 juta), hartanah (296.41 juta), perladangan (38.18 juta), amanah pelaburan hartanah (20.77 juta), dana tertutup (96,300), tenaga (225.85 juta), penjagaan kesihatan (81.51 juta), telekomunikasi dan media (28.14 juta), pengangkutan dan logistik (44.55 juta), utiliti (77.69 juta) serta amanah perniagaan (320,900).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan