POLITIK

MB Johor Nafi Desas-Desus DUN Dibubarkan Hari Ini

07/05/2026 11:48 AM

ISKANDAR PUTERI, 7 Mei (Bernama) -- Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi menafikan desas-desus bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dibubarkan pada hari ini.

Beliau berkata buat masa ini, soal pilihan raya negeri perlulah diketepikan terlebih dahulu dan semua Ahli Dewan Undangan Negeri Johor (ADUN) diminta agar terus berkhidmat untuk rakyat di negeri itu.

“Saya ingin mengumumkan bahawa DUN Johor tidak akan dibubarkan pada hari ini, jadi boleh relaks, Ahli Yang Berhormat, saya sarankan jangan risau pasal Pilihan Raya Negeri (PRN).

“ … terus berkhidmat untuk rakyat dan Bangsa Johor, soal pilihan raya kita tolak ke tepi dahulu, banyak lagi program dan juga inisiatif yang perlu kita laksanakan,” katanya ketika sesi penggulungan pada persidangan DUN Johor di Bangunan Sultan Ismail, di sini hari ini.

Onn Hafiz berkata beliau perlu menjelaskan perkara itu susulan banyak spekulasi yang mengatakan bahawa PRN akan berlaku tidak lama lagi, yang berkemungkinan timbul berikutan peningkatan suhu politik.

“Saya lihat ada sedikit kelainan dalam sesi perbahasan dewan ini, mungkin kerana suhu politik semakin meningkat, ada yang kata bahawa ini mungkin sidang DUN terakhir sebelum PRN, ada yang bermohon maaf, bersalam-salaman,” katanya.

Sejak akhir-akhir ini, perihal mengenai pembubaran DUN Johor semakin kedengaran apabila beberapa ahli politik di negeri itu mula mengeluarkan kenyataan berkaitan PRN selain beberapa parti sudah mula menyatakan kerusi-kerusi tumpuan mereka.

Penggal pentadbiran kerajaan negeri akan berakhir pada April 2027.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan