KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- UOB Malaysia mencatat keuntungan bersih sebelum cukai (PBT) tertinggi berjumlah RM2.5 bilion dan jumlah pendapatan operasi sebanyak RM4.9 bilion bagi tahun kewangan berakhir 2025.
Bank itu berkata pencapaian tersebut didorong oleh pertumbuhan 9.5 peratus dalam keuntungan operasi dan tahap jangkaan kerugian kredit yang lebih rendah, disokong oleh masuk kira semula aset-aset tidak terjejas.
PBT bank meningkat 15.6 peratus pada tahun kewangan 2025 daripada RM2.2 bilion pada tahun kewangan 2024, manakala pendapatan operasi naik 4.5 peratus kepada RM4.9 bilion daripada RM4.7 bilion sebelumnya.
Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia Ng Wei Wei berkata peningkatan itu disokong oleh pertumbuhan pendapatan faedah bersih hasil pengoptimuman kunci kira-kira, kenaikan pendapatan bukan faedah serta sumbangan lebih tinggi daripada perniagaan perbankan Islam.
“Prestasi kukuh ini membuktikan daya tahan francais kami, pengurusan risiko berhemat serta tumpuan berterusan dalam membina perniagaan yang mampan dan seimbang bagi membantu pelanggan serta pertumbuhan jangka panjang Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, bank berkenaan memaklumkan nisbah kos kepada pendapatan meningkat lebih dua mata peratusan, mencerminkan pengurusan kos berdisiplin secara berterusan, manakala jumlah elaun bagi jangkaan kerugian kredit susut dengan ketara hampir 70 peratus, hasil pelarasan semula aset tidak terjejas.
Pada 2025, pinjaman, pendahuluan dan pembiayaan kasar UOB Malaysia meningkat 2.8 peratus kepada RM112.6 bilion berbanding RM109.5 bilion pada 2024, disokong oleh pertumbuhan yang stabil dalam kedua-dua segmen borong dan runcit.
Deposit bukan bank pula meningkat 5.8 peratus kepada RM121.3 bilion berbanding RM114.6 bilion pada tahun kewangan sebelum itu, kata bank itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial