KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) -- Keuntungan bersih Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N) bagi suku kedua berakhir 31 Mac, 2026 kepada RM96.27 juta berbanding RM140.33 juta bagi tempoh sama tahun lepas.
Hasil pendapatan turut 7.6 peratus kepada RM1.23 bilion berbanding RM1.33 bilion tahun lepas, terutamanya disebabkan oleh prestasi segmen makanan dan minuman (F&B) yang lebih lemah di Indochina.
Selain itu, hasil bagi F&B Indochina merosot 16.9 peratus berikutan keadaan pasaran lembap dan penutupan sempadan yang berpanjangan, manakala F&B Malaysia mencatatkan penurunan kecil sebanyak satu peratus.
Perniagaan teras minuman dan tenusu menyaksikan permintaan stabil di pasaran domestik meskipun berdepan ketidaktentuan geopolitik global dan serantau yang berterusan serta sentimen pengguna yang berhati-hati, kata syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Kumpulan tersebut mencatatkan untung bersih lebih rendah sebanyak RM208.46 juta bagi separuh pertama tahun kewangan 2026 berakhir 31 Mac, berbanding RM309.35 juta setahun lalu, hasil pendapatan pula merosot 6.9 peratus tahun ke tahun kepada RM2.53 bilion daripada RM2.72 bilion.
Konglomerat yang pakar dalam bidang F&B itu memaklumkan bahawa F&B di Malaysia mencapai pertumbuhan hasil sebanyak 2.3 peratus, sebahagiannya mengimbangi penurunan 19.0 peratus dalam F&B Indochina sepanjang separuh pertama tahun kewangan 2026 akibat keadaan pasaran lemah dan penutupan sempadan yang berlanjutan.
Mengulas mengenai prestasi kumpulan, Ketua Pegawai Eksekutif Lim Yew Hoe berkata walaupun faktor luaran telah menjejaskan prestasi jangka pendek, asas teras kumpulan kekal kukuh dan pihaknya sedang menguruskan cabaran tersebut secara proaktif.
Walaupun berdepan tekanan kos meningkat dan perbelanjaan pengguna yang lebih berhati-hati, perniagaan teras tenusu dan minuman kami di Malaysia kekal stabil, mencerminkan permintaan berterusan hasil daripada kedudukan pasaran kami yang kukuh.
“Pada masa sama, disiplin kos dan pelaburan strategik yang sedang berjalan terus menyokong pertumbuhan jangka panjang kumpulan ini, katanya.
Lim berkata kumpulan itu yakin dapat memberikan prestasi yang lebih kukuh dalam tempoh sederhana hingga jangka panjang.
Pelaburan kami hari ini, termasuk F&N AgriValley dan kemudahan tenusu kami di Kemboja sedang memperkukuh daya tahan rantaian bekalan dan kecekapan kos ketika kami mengemudi keadaan pasaran yang sentiasa berubah, katanya.
Lim menjelaskan bahawa kumpulan itu sedang menguruskan tekanan kos dan gangguan rantaian bekalan secara proaktif susulan ketidaktentuan geopolitik global dan serantau mengakibatkan kos input.
Peningkatan kos ini didorong terutamanya oleh harga bahan pembungkusan dan ramuan utama, selain kenaikan kos tenaga bagi penggunaan gas petroleum cecair, diesel serta gas asli.
Tekanan kos itu ditangani melalui peningkatan kecekapan operasi, pengoptimuman rantaian bekalan dan inisiatif pengurusan kos yang berdisiplin.
“Kami tetap fokus dalam melaksanakan keutamaan utama kumpulan ini, mengekalkan pendekatan berhemat dan terukur. Kami akan terus mengimbangi tekanan kos dengan sensitiviti pasaran dan sebarang pelarasan harga, jika perlu, akan dilaksanakan secara beransur-ansur dan hanya dianggap sebagai pilihan terakhir, kata Lim.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial