BERITA TERGEMPAR   Thomas Cup: China 2 Malaysia 0: Liang Wei Keng-Wang Chang bt Aaron Chia-Soh Wooi Yik 24-22, 21-14 | 
 AM

Status Keselamatan 10 Rakyat Malaysia Belum Diketahui Selepas 38 Jam Ditahan Rejim Zionis - SNCC

01/05/2026 05:29 PM

BANGI, 1 Mei (Bernama) -- Sumud Nusantara Command Center (SNCC) masih belum menerima pengesahan rasmi berhubung status keselamatan 175 aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 termasuk 10 rakyat Malaysia selepas 38 jam diculik oleh rejim Zionis di perairan antarabangsa.

Ketua Pengarah SNCC Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata terdapat maklumat awal bahawa kesemua aktivis akan dibebaskan di Pelabuhan Lerapetra, Pulau Crete, Greece pada 12 tengah hari tadi (waktu Malaysia).

“Namun, status terkini masih belum dapat disahkan melalui saluran rasmi dan juga kumpulan di lapangan kita di pelabuhan tersebut,” katanya pada sidang media khas perkembangan terkini Misi Global Sumud Flotilla 2026 di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya telah berhubung dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan pendirian tegas dan mengecam tindakan rejim itu kerana melanggar serta mencabul undang-undang antarabangsa.

“(Perdana Menteri turut) memberi komitmen berterusan dan maksimal yang sedang digerakkan bagi membebaskan semua tahanan,” katanya.

Sani Araby berkata Perdana Menteri memaklumkan kerajaan melalui Wisma Putra telah memulakan usaha diplomasi dengan menghubungi Konsul Kehormat Malaysia di Greece serta negara sahabat bagi membantu dan menyelaraskan proses pembebasan semua aktivis terlibat.

Beliau turut menyeru rakyat Malaysia untuk terus memberi tekanan serta menzahirkan pendirian terhadap isu pencabulan undang-undang antarabangsa yang dilakukan oleh rejim Zionis di Gaza dan Palestin.

“SNCC dimaklumkan usaha ditingkatkan bersama dengan kumpulan perundangan dari serata dunia untuk memberi tekanan berterusan kepada pihak rejim melalui usaha kedutaan masing-masing demi hak dibebaskan.

“Kita meminta seluruh rakyat Malaysia berdoa, melakukan solat hajat perdana dan juga menzahirkan apa sahaja yang mampu untuk mencerminkan rasa simpati kepada yang ditahan dan juga rasa marah terhadap pencabulan yang dilakukan oleh rejim,” katanya. 

Sani Araby juga meminta Ahli Parlimen blok kerajaan mahupun pembangkang supaya bersatu hati dalam memberi tekanan terhadap tindakan rejim yang mencabul hak asasi manusia dengan menahan aktivis di perairan antarabangsa.

“Semua sekali perlu bersatu hati dan memberi tekanan sebesar-besarnya kepada pihak rejim dengan menggunakan apa sahaja saluran kerana yang dicabul itu adalah aktivis kemanusiaan... mereka tidak melakukan kesalahan kerana berada di perairan antarabangsa,” katanya.

Selain itu, beliau berkata tindakan rejim Zionis tidak mematahkan semangat aktivis lain malah delegasi yang berada di Greece dan Turkiye tetap bersemangat serta bersedia meneruskan pelayaran tersebut.

Sepuluh rakyat Malaysia yang diculik semalam ialah Zainal Rashid Ahmad yang menaiki kapal Arkham III, Osman Zolkifli dan Dr Jihan Alya Mohd Nordin (Eros 1), Hazwan Hazim Dermawan, Mohd Hanafi Mohd Salim, Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman dan Norhelmi Ab Ghani (Bianca BCN). 

Yang turut terlibat ialah Mohd Redzal Amzah dan Muhamad Muhsin Zaidi, masing-masing berada dalam kapal Freia dan Marea serta Mohd Shamsir Mohd Isa (Esplai).

Misi GSF 2.0 ialah gabungan maritim antarabangsa dan gerakan mobilisasi global yang komited untuk memecahkan sekatan ke atas Gaza sebagai tindak balas terhadap krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di wilayah berkenaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan