SHAH ALAM, 29 April (Bernama) -- Polis sedang mengesan individu dipercayai terlibat dalam kes mengganggu ketenteraman awam dengan membakar mercun pada awal pagi yang tular dalam media sosial, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Shah Alam Ramsay Embol berkata dalam kejadian itu mercun berkenaan yang dipercayai melepaskan letupan kuat sebanyak kira-kira 50 hingga 100 das secara berturut-turut bagi sesi fotografi perkahwinan di kawasan parkir awam Setia Alam Community Trail, di sini.
“Dalam rakaman yang tular itu menunjukkan kejadian berlaku pada 1.05 pagi, 26 April dan pembakaran mercun dilakukan sebanyak tiga siri mercun secara berturut-turut. Kejadian kembali berulang pada 27 April kira-kira 2.11 pagi.
“Satu laporan polis telah diterima pada 8.26 pagi, 29 April selepas video itu tular dalam media sosial dan mendapat perhatian orang ramai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ramsay berkata mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung kes itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Siti Mahanira Mahat menerusi talian 019 2522 905 bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen Seksyen 13 Akta Kesalahan Kecil 1955, dan Seksyen 7 Akta Bahan Letupan 1957.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial